Seramai 12 nyawa terkorban, manakala ratusan lagi mengalami kecederaan apabila dua puting beliung melanda Wuhan, Hubei dan juga wilayah Jiangsu di Timur China.
Fenomena itu turut memusnahkan kediaman dan harta benda, lapor agensi berita rasmi Xinhua pada 15 Mei lalu.
Lapan orang dilaporkan meninggal dunia di Wuhan, dengan 280 orang lagi mengalami kecederaan apabila puting beliung melanda pada 14 Mei sekitar jam 8:39 malam.
Putaran angin yang kuat telah meranapkan 27 buah rumah sementara 130 buah lagi didapati rosak teruk, begitu juga dengan dua menara kren bersaiz 8,000 meter persegi di tapak pembinaan.
“Saya membesar di Wuhan dan tidak pernah melihat kejadian sebegitu. Cuaca sangat melampau akhir-akhir ini”, kongsi seorang penduduk di aplikasi Weibo.
Puting beliung turut dilaporkan melanda banfar Shengze, Suzhou di wilayah Jiangsu, membunuh 4 nyawa sementara 149 orang tercedera.
Menurut bomba, angin yang kuat telah merosakkan kemudahan elektrik serta memusnahkan beberapa bangunan kilang.
Dilaporkan bahawa puting beliung kerap melanda Jiangsu pada akhir musim bunga dan awal musim panas.
Hab komersial China di Shanghai, kira-kira 100 kilometer dari Suzhou, juga dilanda ribut petir yang kuat, lantas mendorong pegawai cuaca untuk mengeluarkan amaran.
Ribut lebih besar dijangka berlaku di Shanghai dan bahagian lain di wilayah delta sungai Yangtze pada hari Sabtu, kata peramal cuaca negeri.
Kata pegawai peramal cuaca China, Jia Xialong pada akhir April, negara itu berhadapan dengan cuaca lebih ekstrem akibat perubahan iklim.
Beliau turut menambah bahawa risiko bencana seperti gelombang haba dan juga banjir turut dijangka meningkat di tahun-tahun mendatang.