Antara hari paling istimewa yang sering ditunggu-tunggu ialah hari ulang tahun. Buat sesetengah orang mereka sangat menanti hari jadi mereka saban tahun. Terkadang bukan hadiah mahal yang ditunggu tetapi apa yang penting hari istimewa itu diraikan bersama tersayang.
Baru-baru ini, gambar beberapa orang kanak-kanak yang sedang mempersiapkan kejutan ulang tahun untuk bapa mereka tular di media sosial.
Seorang pengguna Facebook, Melody Silang, berkongsi beberapa keping gambar anak-anak kecil itu yang sedang sibuk menyediakan kejutan untuk ulang tahun buat ayah mereka. Ketika itu ayah mereka masih belum pulang dari kerja.
Kelihatan anak-anak kecil itu menggunakan beberapa beg plastik dan digantung seolah-olah seperti belon yang biasa digunakan. Pada plastik tersebut juga ada tulisan tangan yang berbunyi, “Happy Birthday Papa.”
Status tersebut telah menyentuh hati ramai pengguna Facebook. Apa yang mereka lakukan jelas menunjukkan bahawa walaupun mereka tiada wang untuk membeli belon, atau mengadakan majlis sambutan hari jadi tetapi apa yang penting ialah kasih sayang mereka buat bapa mereka. Mereka tetap berusaha untuk melakukan yang terbaik.
Pasti bapa mereka sangat gembira dan bahagia dengan kejutan yang paling manis itu!