Pernah anda bayangkan untuk memelihara haiwan liar di rumah? Bunyinya sahaja sudah kedengaran gila, tapi percaya atau tidak ada sahaja yang sanggup melakukannya.
Contohnya seperti yang berlaku kepada seekor harimau kumbang apabila dia dijaga dan dibesarkan oleh seorang wanita sebagai haiwan peliharaannya.
Harimau kumbang bernama Luna ini dikatakan telah ditinggalkan oleh ibunya hanya selepas tujuh hari dia dilahirkan. Oleh kerana dia memerlukan penjagaan khas, pihak zoo telah meminta bantuan seorang wanita untuk menjaga Luna. Wanita tersebut dikatakan mempunyai pengalaman menjaga dan membesarkan harimau kumbang.
Luna ketika kecilnya mempunyai masalah kesihatan dan sebab itulah dia memerlukan perawatan khas. Selepas meneliti pelbagai faktor pihak zoo memutuskan untuk tidak mengembalikan Luna ke hutan semula malah meminta orang yang berpengalaman untuk menjaga Luna.
Luna dikatakan memerlukan rutin pemakanan khas. Dia juga perlu mengambil vitamin untuk mengembalikan semula staminanya dan supaya dia dapat membesar dengan baik.
Wanita itu kemudian membawa Luna pulang dan sejak itu dia lah yang telah menjaga Luna di samping anjing peliharaannya di rumah. Apa yang lebih menarik, anjing kesayangannya, Vansa juga sangat suka akan Luna.
Walaupun pada mulanya Luna berasa takut akan anjing itu tetapi lama-kelamaan mereka menjadi kawan. Mereka berdua kemudian membesar bersama dan menjadi kawan baik! Nampaknya Luna seakan-akan lupa identiti sebenarnya sebagai haiwan liar…