Seorang lelaki berusia 42 tahun tidak menyangka bahawa pertimbangan nyawanya antara hidup atau mati akan menjadi topik perselisihan keluarga dan perbincangan awam.
Lelaki ini, Vincent Lambert berada dalam keadaan vegetatif (kerosakan otak) selepas kemalangan. Dia telah diinkubasi dan dibiarkan meninggal dunia 9 hari kemudian. Ibunya mendedahkan bahawa anak lelakinya itu menangis ketika mengetahui bahawa dia akan dimatikan tanpa kerelaannya.
Lelaki kelahiran Perancis ini lumpuh selepas kemalangan kereta dan berada di katil hospital sejak itu, sebelum diberitahu pada bulan Mei 2019 bahawa dia mungkin akan menjalani proses ‘eutanasia’ (dimatikan daripada terus menanggung azab penyakit) dengan dibiarkan kelaparan.
Ibunya, Viviane Lambert, memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa anaknya menangis setelah mendengar berita itu. “Kami sangat kesal dan sedih dengan perkara ini. Itulah sebabnya kami meminta bantuan Suruhanjaya PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya. Kerana Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya menetapkan larangan rampasan makanan ke atas seseorang yang kurang upaya,” katanya.
Vincent Lambert yang juga seorang jururawat hampir maut dalam kemalangan kereta pada tahun 2008. Sejak itu, mengalami keadaan semi-vegetatif, lemah anggota badan dan otot serta berada dalam keadaan separuh sedar.
Doktor yang merawatnya berkata keadaan trauma pada otaknya tidak dapat dipulihkan. Walaupun Vincent dapat bernafas secara spontan tanpa ventilator, tetapi cecair tubuhnya perlu diawasi dan seimbang dengan pengambilan nutrisi melalui kaedah perubatan.
Pada 11 Julai 2019, 9 hari selepas doktor mengeluarkan tiub makanan, Vincent Lambert, yang ‘diberi ubat penenang’, meninggal dunia secara malang.
Pada 28 Jun, sebelum menjalani proses eutanasia, mahkamah Perancis memutuskan untuk menyokong permintaan isteri Lambert untuk ‘mengakhiri hidup suaminya’ dan membiarkannya meninggal dunia tanpa membekalkan cecair dan nutrien yang diperlukan oleh Vincent Lambert. Keputusan itu kemudian dibatalkan oleh mahkamah rayuan yang sebelum ini memihak kepada permohonan ibu bapa Lambert yang mahu dia terus hidup dengan bantuan alat sokongan hayat itu.
Ketika Vincent Lambert berada di ambang antara hidup dan mati, ahli keluarganya bertelagah dan berbeza pendapat dalam memperkatakan hak ke atas nyawanya sendiri. Isteri dan enam adik-beradiknya menyokong supaya dia dimatikan, dan ibu bapanya yang berpegangan Katolik serta dua abang dan kakaknya yang lain telah bekerja keras untuk mengekalkan supaya dia terus hidup.
Ibu bapa Lambert mendedahkan walaupun tahap kesedaran anak lelaki mereka berada pada tahap paling rendah, tetapi dia masih lagi bernyawa dan berhak kepada kehidupan.
“Dia tidur pada waktu malam, bangun pada waktu siang hari, dan melihat saya ketika saya sedang bercakap kepadanya. Dia hanya perlu diberi makan melalui alat khas, dan doktornya mahu menghentikan ini supaya dia boleh dimatikan,” kata ibu Vincent yang sangat sedih.
Pada 15 Julai 2019, ibu bapa Lambert dan dua adik-beradiknya mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengambil apa-apa tindakan undang-undang lagi.
“Kali ini, itu saja. Kini kematian tidak dapat dielakkan. Kematian dikenakan juga kepadanya dan juga boleh kepada kita. Walaupun kami tidak boleh menerimanya, kami hanya dapat berserah dalam kesedihan dan rasa ketidaksefahaman. Tapi kami masih berharap,” tulis keluarga Lambert. Keluarga itu juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terus menyokong dan mendoakan kesihatan Vincent semasa hayatnya.
Walaupun eutanasia sebelum ini amalan perubatan menyalahi undang-undang di Perancis, peruntukan baharu yang diluluskan pada tahun 2016 membenarkan doktor memasukkan pesakit ke dalam keadaan “anestesia dalaman yang berterusan” sehingga kematian mereka.
Sebelum menjalani eutanasia, Vincent mengalirkan air mata kerana tahu akan masanya untuk meninggal dunia dan ini telah mengejutkan ramai netizen dengan meninggalkan mesej di laman berita dan media sosial.
“Lelaki malang ini tahu dia akan mati secara perlahan-lahan. Vincent, semoga kamu berehat dengan tenang.”
“Bayangkan kamu menghitung 9 hari untuk mati! Betapa kejam dan tidak berperikemanusiaan! Sekiranya kita diizinkan mati demi menjimatkan wang, kerajaan menolak hak untuk membiarkan seseorang untuk terus hidup…”
“Sekarang mereka fikir tidak mengapa untuk mengakhiri hidup seseorang hanya kerana dia tidak produktif dan tidak bermakna. Kita membunuh janin, dan sekarang kita membunuh orang kurang upaya … Adakah lelaki tua pula yang seterusnya? Sekiranya kita tidak memahami sejarah kita, kita pasti akan mengulangi kesilapan yang sama,” tulis seorang netizen.