Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar yang menunjukkan sebuah kapal di laut kelihatan seperti sedang terapung di udara.
Penularan gambar itu membuatkan majoriti warganet terpegun kerana tidak pernah menyaksikan kejadian yang begitu menakjubkan!
Mungkin ada yang berpendapat ia adalah satu kejadian aneh tetapi hakikatnya, kejadian ini berlaku disebabkan oleh satu fenomena ilusi optik yang disebut sebagai Fatamorgana.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Omén Necrofis. Menurut Omén, kejadian kapal di laut terapung itu merupakan fenomena semulajadi yang sering berlaku di kawasan luas seperti di padang pasir dan juga lautan.
Di kawasan gurun, fenomena fatamorgana ini boleh membuatkan kita melihat kewujudan lopak air atau oasis.
Fenomena fatamorgana ini terjadi disebabkan oleh pembiasan cahaya di kawasan berkepadatan udara yang berbeza akibat suhu panas. Sebagai contoh, anda pasti pernah melihat kawasan seperti lopak atau takungan air berada di tengah jalan raya ketika cuaca panas terik.
Oleh demikian, ia boleh menyebabkan ilusi sekali gus menampakkan sesuatu objek kelihatan seperti terapung di awan.