Polis Myanmar dirakam memukul kru ambulans sukarela, di mana rakaman video tersebut kemudian telah dimuat naik di laman sosial.
Video yang dirakamkan di bandar Yangon tersebut dengan jelas menunjukkan polis yang lengkap bersenjata bertindak menghentikan sebuah ambulans.
Kemudian, tiga anggota paramedik dilihat keluar daripada ambulans dan telah dipukul dan ditendang berulang kali oleh beberapa orang polis.
Laporan mendedahkan bahawa seramai 6 orang anggota polis menyerang paramedik terbabit, sementara ketiga-tiga mangsa dilihat berusaha melindungi kepala mereka yang diserang.
Kesemua mangsa kemudian difahamkan telah ditahan dan dibawa ke penjara Insein. Semenjak tentera menguasai pemerintahan di Myanmar 1 Februari lalu, berlaku protes besar-besaran di seluruh negara.
Lebih 50 orang awam telah dibunuh oleh polis dan tentera sejak itu, manakala 4 orang kanak-kanak turut menjadi mangsa yang terbunuh baru-baru ini.
Walaupun berdepan dengan risiko, kumpulan penunjuk perasaan masih lagi turun ke jalanan untuk menentang tentera dan menuntut pembebasan Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain.
Sistem kesihatan formal juga terganggu oleh Pergerakan Ketidakpatuhan Sivil yang enggan bekerja untuk pihak tentera atau junta.
Sebaliknya, penyedia perkhidmatan kesihatan menawarkan perkhidmatan secara sukarela di luar kemudahan kerajaan.
Tindakan itu sekaligus mendedahkan kakitangan perubatan dengan pihak berkuasa terutamanya ketika mereka melakukan pertolongan cemas kepada penunjuk perasaan.