PETALING JAYA – Sekumpulan pekerja syarikat kurier J&T Express telah bertindak mencampak barangan pelanggan akibat ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan syarikat.
Menerusi video berdurasi 15 saat yang tular di aplikasi TikTok itu, dilihat seorang pekerja di sebuah gudang barangan yang tidak diketahui lokasinya telah bertindak membaling barangan pelanggan manakala beberapa lagi pekerja lain turut menjerit bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.
Menurut laporan, isu ini dibangkitkan akibat masalah pembayaran gaji oleh pihak J&T Express. Ekoran daripada penularan video tersebut, meskipun ramai yang bersimpati dengan nasib mereka, majoriti tidak bersetuju dengan tindakan para pekerja yang tidak melakukan tugas dengan sebaik mungkin.
Selain daripada menerima bungkusan dalam keadaan kemek dan koyak, terdapat juga pelanggan yang menyatakan barangan mereka hilang dipercayai dicuri oleh pekerja syarikat penghantaran tersebut.
“Nak mengadu pergilah pejabat buruh, jangan campak barang pelanggan”.
“Kami faham anda mogok dan marah tetapi jangan sampai barang kami jadi mangsa. Kalau barang lukisan saya pecah macam mana nanti?”.
“Baling bungkusan orang macam baling sampah. Kalau ya pun mogok, jangan libatkan penjual dan pembeli. Kami beli barang bukan guna daun pokok bunga mak”.
Sehingga kini, pihak J&T Express bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan penularan isu tersebut.