28.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 23, 2025
Utama Blog Laman 14

Aniq terlepas pingat menerusi acara angkat berat

0

PARIS: Aniq terlepas pingat menerusi acara angkat berat apabila hanya kurang satu kilogram sahaja daripada pemenang pingat gangsa.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Atlet angkat berat Malaysia yang berasal dari Segamat, Johor ini menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara yang berlangsung di South Paris Arena 6.

Pada percubaan pertama, wakil negara berusia 22 tahun ini memulakan angkatan snatch dengan bebanan 126 kilogram.

Walau bagaimanapun, Aniq tidak dapat menyempurnakan angkatan kedua dengan bebanan 130 kilogram sebelum dia berjaya melakukan angkatan pada percubaan terakhir.

Bagi clean & jerk pula, Aniq membuka saingan dengan angkatan 167 kilogram. Namun usahanya untuk mengangkat bebanan 174 kilogram pada percubaan kedua dan ketiga tidak dapat disempurnakan.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Terdahulu, Aniq memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170 kilogram dan keseluruhan 296 kilogram.

Walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat, Mohamad Aniq bagaimanapun berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 129 kilogram milik Muhamad Aznil Bidin dengan angkatan keseluruhan 297 kilogram.

Berdasarkan laporan yang dikongsikan Bernama, Aniq meluahkan rasa kecewanya kerana terlepas peluang meraih sebarang pingat.

“Saya dah cuba angkat lebih daripada apa yang saya pernah buat sebelum ini (172 kilogram dalam latihan), tetapi tidak berjaya.”

“Jika berjaya dengan bebanan 174 kilogram itu, boleh dapat pingat perak dan buat rekod kebangsaan baharu (bagi clean & jerk). Terpaksa pulang dengan kekecewaan tapi pada masa sama, saya dapat pengalaman baharu dalam sukan ini.”

“Saya berpuas hati dengan angkatan snatch sebab dapat lawan saya punya ketakutan untuk rekod baharu, cuma clean & jerk tak jadi,” Kata Aniq.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Menurut Aniq lagi, dia berjanji untuk terus menampilkan prestasi terbaik bagi meraih pingat dalam Kejohanan Komanwel 2024 di Fiji pada 17 hingga 24 September depan.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim berkata dia sangat berpuas hati dengan pencapaian Aniq yang masih muda itu.

“Ini adalah satu daripada katergori baharu untuk beliau selepas hanya setahun lepas tukar daripada kategori 55 kilogram (yang tiada dalam Olimpik). Jika digiilap dengan betul, beliau mampu menghadirkan saingan lebih baik.”

“Cuma kita berharap beliau lebih konsisten selepas ini untuk mencabar pingat dalam temasya dan kejohanan utama,” Kata Amirul.

Sementara itu, Li Fabian dari China berjaya mempertahankan pingat emasnya dengan jumlah angkatan 310 kilogram.

Pingat perak pula menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan angkatan 303 kilogram dan pingat gangsa menjadi milik Hampton Morris dari Amerika Syarikat dengan angkatan 298 kilogram.

OLYMPIC.COM

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam sukan angkat berat di pentas Olimpik adalah menerusi Tan Kim Bee yang meraih kedudukan keenam pada edisi Olimpik Melbourne 1956 dengan angkatan 395 kilogram bagi kategori 90 kilogram lelaki.

Nur Dhabitah berjaya mara ke pusingan akhir 3m papan anjal

0

PARIS: Penerjun negara, Nur Dhabitah berjaya mara ke pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Nur Dhabitah berjaya memperoleh tempat ke-8 dalam kalangan 12 orang penerjun terbaik yang layak ke pusingan akhir.

Menerusi lima terjunan, Dhabitah memulakan terjunan pertama dengan catatan mata 67.50 dan berada di kedudukan ke-2.

Prestasi Dhabitah kemudiannya menurun pada terjunan kedua dan ketiga namun kembali meningkat pada terjunan keempat dengan catatan 57.00.

Pada terjunan akhir, Dhabitah menunjukkan aksi terbaiknya dengan catatan 60.45 sekali gus melayakkan dia ke pusingan akhir dengan jumlah terkumpul 286.95.

OLYMPIC.COM

Empat penerjun terbaik yang akan memberi saingan kepada Dhabitah adalah Chen Yiwen dan Chang Yani dari China, Keeney Maddison dari Australia dan Pellacani Chiara dari Itali.

Terdahulu, atlet berusia 25 tahun ini menduduki tangga ke-12 bagi menempatkan diri dalam kalangan 18 orang penerjun terbaik yang layak ke pusingan separuh akhir.

Dhabitah bermula cemerlang pada dua terjunan pertama dan berada pada kedudukan kedua.

Walau bagaimanapun, prestasinya sedikit merosot pada terjunan ketiga dan keempat dengan masing-masing mencatatkan mata 54.00 dan 48.00.

Sementara itu, penerjun China, Chen Yiwen mendahului semua peserta di tempat pertama dengan pungutan mata 356.40 diikuti Kenny Maddison dari Australia di tempat kedua dan Vazquez Montana dari Mexico di tempat ketiga.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016.

Nur Dhabitah akan beraksi pada pusingan akhir acara 3 meter papan anjal wanita pada 9 Ogos.

Semoga Dhabitah berjaya!

Lee Zii Jia sebak kenang jadi bahan kritikan, lalui jalan berliku ke Paris

0

Kejayaan pemain badminton negara Lee Zii Jia membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, telah membuatkan seluruh Malaysia berbangga dengan pencapaian cemerlang beliau.

Seluruh dunia menyaksikan kemenangan itu tetapi sedikit yang kita tahu, Lee Zii Jia berhadapan dengan pelbagai emosi sejurus selesai menumpaskan pemain India, Lakshya Sen, yang dikongsi semasa temu bual beliau.

Gambar Reuters / Olympics.com

Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zii Jia berkongsi “ramuan rahsia” beliau yang bangkit memenangi perlawanan begitu sengit, dengan berkata:

“Saya hanya memberitahu diri saya sendiri untuk tidak berputus asa dan teruskan.”

Zii Jia, bagaimanapun, mula menitiskan air mata ketika mengenangkan hari-hari gelap pada setiap kali bangun pagi sejak 3 tahun lalu dan melihat namanya menjadi tajuk berita dan bahan kritikan.

“Saya tidak boleh untuk tidak berfikir, apa salah saya?” kata Zii Jia.

Astro Arena / YouTube

Walaupun melihat bagaimana sesetengah media mencemarkan namanya dan warganet di media sosial mengecam serta mengkritiknya, Zii Jia memilih untuk berdiam diri dan melakukan apa yang dipercayai terbaik buat dirinya, demi membuktikan mereka salah dan menunjukkan segalanya hanyalah permulaan.

Zii Jia turut mengakui terpaksa melalui waktu sukar sejak 3 tahun lalu terutama selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menjadi pemain perseorangan profesional.

Astro Arena / YouTube

“Saya bergelut dengan prestasi saya sejak menjadi profesional, ranking saya jatuh, dan saya tidak pasti sama ada dapat mewakili Malaysia untuk Sukan Olimpik Paris 2024. Tetapi, saya tidak pernah berputus asa dan saya buktikan boleh menang gangsa, walaupun matlamat awal saya adalah untuk mendapatkan emas,” katanya sambil mengesat air mata.

Pemain nombor tujuh dunia itu berkata kemenangan itu hanya satu permulaan untuknya bangkit dengan lebih kuat lagi bagi mendapatkan pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028.

Kualiti air Sungai Seine tidak selamat, Olimpik Paris batalkan latihan renang air terbuka

0

PARIS: Penganjur Olimpik Paris memutuskan untuk membatalkan latihan renang air terbuka di Sungai Seine pada Selasa, 6 Ogos, akibat pencemaran air.

Menurut Al Jazeera, ini merupakan kali kelima pihak penganjur membatalkan acara renang di sungai itu sejak Sukan Olimpik bermula tahun ini.

Gambar AFP

Bagaimanapun, sehari sebelum pembatalan, acara lari berganti-ganti pasukan campuran triatlon diadakan di sungai yang sama, menimbulkan persoalan mengapa acara itu dibenarkan dan diteruskan.

Walaupun Perancis memberi jaminan awal bahawa air di sungai itu selamat untuk acara Olimpik, kenyataan daripada World Aquatics dan jawatankuasa penganjur mendedahkan bahawa satu daripada empat bacaan untuk bakteria enterococci – penunjuk pencemaran najis – melebihi had yang dibenarkan.

Bakteria E. coli dikaitkan dengan najis di dalam air, malah seteguk air tercemar yang mengandungi paras tinggi bakteria ini boleh menyebabkan cirit-birit, jangkitan saluran kencing, radang paru-paru atau sepsis.

Bakteria lain seperti Leptospira, yang disebarkan melalui air kencing tikus juga boleh didapati dalam air tercemar, mampu mengakibatkan penyakit buah pinggang yang teruk.

Gambar Reuters

Bakteria dan parasit bawaan air, seperti larva cercarial yang sering ditemui dalam air yang dihuni oleh unggas air, juga boleh membawa kepada masalah kesihatan lain.

Beberapa atlet dilaporkan mengalami sakit teruk selepas bertanding dalam acara triatlon.

Pegawai Switzerland melaporkan atlet Adrien Briffod, yang bertanding dalam triatlon lelaki minggu lalu, jatuh sakit akibat jangkitan perut. Walaupun, kenyataan itu menjelaskan bahawa adalah “mustahil untuk menyatakannya” jika ia dikaitkan dengan sungai, kerana delegasi lain tidak melaporkan jangkitan serupa.

AP News turut melaporkan Belgium terpaksa menarik diri daripada triatlon lari berganti-ganti campuran selepas salah seorang atletnya, Claire Michel, yang berenang di Sungai Seine, jatuh sakit. Ia juga tidak jelas sama ada penyakitnya berkaitan dengan pencemaran sungai.

Penganjur Olimpik tidak mengulas mengenai penyakit Michel tetapi mengesahkan bahawa acara triatlon lari berganti-ganti akan diteruskan pada 5 Ogos, kerana ujian kualiti air yang dijalankan pada hari perlumbaan triatlon individu menunjukkan tahap “sangat baik”.

Atlet Belgium Claire Michel terpaksa menarik diri daripada acara triatlon lari berganti-ganti campuran kerana jatuh sakit. (Gambar Reuters)

Penganjur, serta wakil dari Triatlon Dunia, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, dan pihak berkuasa cuaca melakukan semakan ujian tersebut.

Berenang di Sungai Seine telah diharamkan sejak 1923, dengan beberapa pengecualian, kerana isu pencemaran air yang teruk.

Larangan ini berpunca daripada air sisa bandar, termasuk kumbahan, yang mengalir terus ke sungai dan bukannya dirawat di loji rawatan air.

Walau bagaimanapun, usaha menyeluruh telah dilakukan untuk membersihkan Sungai Seine sebagai persediaan untuk Sukan Olimpik Paris 2024. 

Gambar AFP

Perancis telah berusaha selama bertahun-tahun untuk meningkatkan kualiti air di Sungai Seine, dengan melabur kira-kira €1.4 bilion (AS$1.5 bilion) dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menggunakan sungai itu bagi acara Olimpik.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, hujan telah menyebabkan peningkatan paras E. coli dan koloni bakteria lain di sungai itu.

Hujan lebat pada hujung minggu pertama temasya itu telah memaksa penganjur menjadualkan semula acara tertentu yang melibatkan Sungai Seine atas sebab kesihatan.

Dua orang maut akibat rempit di Klang

0

SHAH ALAM: Dua orang maut akibat rempit membabitkan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, dekat sini, 4.30 pagi semalam.

BERNAMA

Beberapa kumpulan “mat rempit” melakukan aksi tunggangan secara laju dan berbahaya di sepanjang jalan dari Kompleks Sukan Pandamaran ke Pelabuhan Klang.

Mereka kemudiannya berpatah balik serta membuat beberapa pusingan.

“Salah sebuah motosikal telah terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal dari kumpulan yang lain.”

“Susulan itu, dua daripada penunggang, masing-masing berusia 16 dan 21 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu telah meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala seorang lagi dibawa ke hospital,” Kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Khairul Nizam di talian 010-2452144.

Menurut Cha, lokasi terbabit sering dijadikan litar oleh golongan remaja pada malam minggu walaupun sudah beberapa kali operasi dan tangkapan dijalankan.

Susulan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang boleh mengancam nyawa dan pengguna jalan raya.

X

Terdahulu, tular video di X yang memaparkan dua orang individu maut akibat rempit selepas berlaku pelanggaran antara beberapa motosikal di jalan raya.

Bapa dan anak 12 tahun memandu kereta bawa dua adik hadapi pertuduhan di mahkamah

0

SEPANG: Bapa dan anaknya yang memandu kereta dengan dua adik di kawasan perumahan sehingga video mengenainya tular di media sosial, akan didakwa di Mahkamah Sepang, hari ini Rabu, 7 Ogos.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata bapa berusia 53 tahun itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tangkap Skrin / @update11111/X

“Anaknya berusia 12 tahun pula akan dituduh mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987,” katanya dalam kenyataan semalam.

Media sebelum ini melaporkan polis mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong.

Wan Kamarul melaporkan berkata, lelaki itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan pada 11.30 malam, 29 Julai lalu.

Tangkap Skrin / @update11111/X

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.

Pocket Rocketman, Azizulhasni kini jadi tumpuan

0

PARIS: Pocket Rocketman, Azizulhasni kini jadi tumpuan selepas acara badminton tamat dengan dua pingat gangsa pada Olimpik Paris baru-baru ini.

KOSMO

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin bahawa Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu memberikan aksi terbaiknya kelak.

“Beliau telah menyatakan mahu buru emas itu, saya rasa tiada isu tekanan atau apa-apa, kerana dari mula lagi kita semua tahu mengenai hasratnya.”

“Bagi pihak kami, kita akan bantu mana-mana atlet yang mempunyai hasrat itu,” Kata Hannah dalam satu kenyataan yang ditulis Bernama.

Menerusi Road to Gold (RTG), pakar dari Jantung Negara (IJN) Profesor Datuk Seri Jeffry Jeswant Dillon turut diterbangkan bagi memantau keadaan Azizulhasni di Paris.

Menurut Jeffry Jeswant, tahap kesihatan Azizulhasni berada dalam keadaan terbaik setelah menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

“Beliau telah pulih dengan sangat baik sejak pembedahan itu untuk capai sasaran dalam dua tahap – sebagai orang biasa yang menjalani pembedahan dan atlet elit.”

“Sejak itu, tiada apa-apa masalah yang membimbangkan.” Kata Jeffry Jeswant.

Jelas Jeffry Jeswant, mereka telah memantau keadaan Azizulhasni dan melakukan ujian-ujian yang sepatutnya di IJN mahupun di Australia.

“Kita yakin beliau ada pada tahap kesihatan yang optimum untuk capai apa yang beliau sasarkan. Kita mahu memberi semangat kepada beliau dan semua atlet berbasikal supaya lakukan yang terbaik dan insya-Allah akan berjaya,” Kata Jeffry Jeswant.

Pocket Rocketman Azizulhasni yang berusia 36 tahun ini telah menjalani pembedahan akibat mengalami masalah jantung jarang ditemui.

Masalah jantung jarang ditemui yang dimaksudkan itu dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggall / ganjil (AAORCA).

Acara berbasikal trek yang akan berlangsung pada Rabu ini diwakili tiga orang atlet negara iaitu:

  1. Mohd Azizulhasni Awang – pusingan kelayakan lelaki pecut.
  2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom – pusingan kelayakan lelaki pecut.
  3. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – pusingan pertama wanita Keirin.
OLYMPIC.COM

Mari kita sama-sama doakan agar atlet-atlet negara ini berjaya mencapai pingat yang diidamkan untuk diri sendiri dan negara.

PM Bangladesh diberi masa 45 minit tinggalkan negara, larikan diri ke India

0

NEW DELHI: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang meletak jawatan diberi masa 45 minit oleh tentera untuk meninggalkan negara itu.

Menurut laporan India Today, Hasina yang tiba di pangkalan tentera udara di India petang semalam 5 Ogos, meninggalkan Bangladesh berikutan bantahan besar-besaran menentang kerajaannya.

Hasina berlepas dengan pesawat Tentera Udara Bangladesh sebelum mendarat di pangkalan Tentera Udara India di Ghaziabad, berhampiran New Delhi.

Sheikh Hasina yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 5 Ogos 2024 diberi masa 45 minit meninggalkan negaranya. (Gambar Reuters)

Sumber melaporkan pada mulanya Hasina mahu menyiarkan mesej kepada rakyat sebelum meninggalkan Bangladesh, tetapi dihalang tentera.

Terdapat dua puak tentera Bangladesh, satu memihak kepada Hasina, manakala satu lagi pihak terdiri daripada pegawai rendah dan sekitar 60 pegawai bersara, menentangnya.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tentera diadakan kira-kira pada jam 1 tengah hari kelmarin dan pihak tentera memberitahu Hasina bahawa mereka tidak akan menghalang protes yang akan dilakukan pelajar pada Isnin.

Pada mulanya, situasi berada dalam keadaan baik sehingga jam 9 pagi semalam, namun selepas itu, ribuan pelajar memasuki Dhaka dari sempadan Gazipur.

Keadaan bertukar menjadi lebih buruk, sebelum tentera memaksa Hasina meninggalkan negara dalam masa 45 minit, menurut sumber itu.

Terdahulu, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman mengumumkan peralihan kerajaan sementara selepas Hasina melarikan diri dari negara itu di tengah-tengah protes ganas di seluruh negara.

Pihak berkuasa di Dhaka juga menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, menurut akhbar harian nasional Prothom Alo.

Seorang lelaki berdiri di hadapan kediaman Perdana Menteri di Ganahaban, Bangladesh selepas Sheikh Hasina mengumumkan peletakan jawatan pada 5 Ogos 2024. (Gambar Reuters)

Hasina, 76, menerajui pentadbiran sejak 2009, namun dituduh menipu pilihan raya pada Januari lalu, menyebabkan jutaan penduduk berdemonstrasi di jalan raya sepanjang bulan lalu, mendesak beliau meletakkan jawatan.

Ratusan rakyat negara itu maut ketika pasukan keselamatan cuba meredakan keadaan yang menyaksikan tunjuk perasaan semakin berkembang dan Hasina akhirnya menaiki helikopter semalam ketika tentera berpaling tadah terhadapnya.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan diterajui Hasina menyalahgunakan institusi negara untuk memperkukuh cengkaman kuasa dan menindas suara bantahan, termasuk pembunuhan di luar batas undang-undang terhadap aktivis pembangkang.

AFP melaporkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pegawai kerajaan, dan doktor di hospital, sekurang-kurangnya 366 terbunuh dalam ketegangan bermula awal bulan lalu.

Zii Jia hadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia

0

PARIS: Zii Jia hadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia menerusi perseorangan lelaki badminton pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Pada set pertama dalam aksi akhir penentuan pingat gangsa, Zii Jia dikalahkan Sen Lakshya dari India dengan mata 13-21.

Namun sebaik sahaja masuk babak kedua, Zii Jia bangkit dan akhirnya berjaya mengalahkan Sen dengan mata 21-16 yang mengheret permainan ke set ketiga.

Debaran sepanjang set ketiga ini bukan sahaja dirasakan Zii Jia dan penonton di Paris, malah di mana-mana juga berharap agar Zii Jia memenangi set ketiga ini.

Akhirnya selepas 71 minit bertarung, Zii Jia berjaya menewaskan Sen dengan mata akhir 21-11. Satu keputusan yang sangat baik daripada Zii Jia.

OLYMPIC.COM

Dengan kemenangan ini, maka Malaysia secara rasminya memperoleh dua pingat gangsa iaitu menerusi beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

Memetik laporan daripada wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani, Lee Zii Jia,26, mengakui terlalu banyak perkara yang berlaku selepas dia memilih untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.

“Ia merupakan detik hitam dalam kerjaya saya sebagai pemain badminton selain menempuh masa yang sangat buruk sepanjang tiga tahun ini.”

“Saya menghadapi kesukaran di mana saya bergelut dengan persembahan sendiri, ranking jatuh dan tidak percaya bahawa saya akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.”

“Namun saya sedikit pun tidak menyerah kalah dan membutirkan pingat gangsa kedua untuk negara meskipun impian sebenar hadir di sini ialah untuk menggondol pingat emas.” Kata Zii Jia.

HANNA YEOH

Untuk makluman, Zii Jia sebenarnya merupakan perseorangan lelaki badminton ketiga yang menghadiahkan pingat buat Malaysia pada Sukan Olimpik.

Terdahulu, Rashid Sidek dengan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Atlanta 1996. Manakala Lee Chong Wei pula dengan pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Menariknya lagi, dengan status terkini sebagai pemain profesional Zii Jia adalah perseorangan lelaki pertama yang mendapat pingat pada Sukan Olimpik.

Walaupun hanya memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik Paris 2024, namun bagi Zii Jia kejayaan ini amat bermakna buat dirinya.

Menurut Zii Jia, dia akan kembali di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, LA28, dan cuba mendapatkan pingat emas untuk Malaysia dan dirinya.

Sementara itu, pingat perak diraih oleh pemain Thailand, Kunlavut setelah ditewaskan oleh pemain Denmark, Viktor Axelsen yang meraih pingat emas.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Lee Zii Jia kerana menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia.

Pemenang pingat emas Olimpik dari Itali tidur di taman, keadaan bilik panas tidak selesa

0

Pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, jaguh renang Thomas Ceccon dari Itali tular di media sosial selepas dia dilihat terpaksa tidur di atas rumput di sebuah taman.

Gambar itu mula tular selepas atlet pendayung daripada Arab Saudi, Husein Alireza, berkongsi gambar Ceccon sedang tidur nyenyak di atas tuala putih di bawah pokok yang berdekatan dengan penginapan atlet dalam Perkampungan Olimpik.

Husein Alireza / Instagram

Menurut Sky News, perenang Itali yang memenangi emas dalam acara 100 meter kuak lentang, sebelum ini sudah mengemukakan aduan secara terbuka mengenai hal penginapan di Perkampungan Olimpik.

Gambar New York Times

“Tiada pendingin hawa di perkampungan sukan, ia panas, dan makanannya tidak sedap. Ia realiti yang tidak semua orang tahu,” kata Ceccon.

“Di rumah, saya selalu tidur di waktu tengah hari, di sini amat sukar kerana keadaan panas dan bising,” keluhnya kerana berasa tidak selesa.

Husein Alireza / Instagram

Thomas Ceccon menarik perhatian ramai terutama peminatnya ekoran gambarnya yang memaparkan dia terpaksa tidur di atas rumput menjadi tular di media sosial.

Sebelum ini, atlet polo air dari Australia, Matilda Kearns mengkritik keadaan tilam di perkampungan Olimpik diperbuat daripada kadbod.