Kini semua orang memperkatakan tentang sukan berprestij dunia Olimpik Paris 2024. Temasya sukan paling penting buat para atlet melakukan yang terbaik bagi mengutip butiran pingat buat negara masing-masing.
Ketika menerima pingat selaku tiga tempat teratas di podium selaku jaguh dunia, atlet juga diberi cenderahati yang sebelum ini kebanyakannya berupa jambangan bunga atau patung maskot.
Baru-baru ini, seorang atlet wanita telah berkongsi isi kotak hadiah ‘misteri’ yang diterimanya selepas memenangi pingat emas di Olimpik Paris.
Menerusi video di TikTok, atlet kayak dari Australia, Jessica Fox, berkongsi dia turut menerima cenderahati berupa sebuah kotak hadiah semasa menerima pingat emas.
Ramai pengikutnya yang tertanya-tanya apakah isi di dalam kotak itu, dan dia kemudian membuat video unboxing untuk mendedahkannya.
Rupa-rupanya di dalamnya terdapat sekeping poster rasmi dan edisi khas Olimpik Paris 2024 sebagai tanda kenang-kenangan yang hanya atlet pemenang sahaja yang menerimanya.
Jessica Fox menyumbang pingat emas buat negaranya dalam acara kayak slalom perseorangan wanita.