PARIS: Penerjun negara, Nur Dhabitah berjaya mara ke pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Nur Dhabitah berjaya memperoleh tempat ke-8 dalam kalangan 12 orang penerjun terbaik yang layak ke pusingan akhir.
Menerusi lima terjunan, Dhabitah memulakan terjunan pertama dengan catatan mata 67.50 dan berada di kedudukan ke-2.
Prestasi Dhabitah kemudiannya menurun pada terjunan kedua dan ketiga namun kembali meningkat pada terjunan keempat dengan catatan 57.00.
Pada terjunan akhir, Dhabitah menunjukkan aksi terbaiknya dengan catatan 60.45 sekali gus melayakkan dia ke pusingan akhir dengan jumlah terkumpul 286.95.
Empat penerjun terbaik yang akan memberi saingan kepada Dhabitah adalah Chen Yiwen dan Chang Yani dari China, Keeney Maddison dari Australia dan Pellacani Chiara dari Itali.
Terdahulu, atlet berusia 25 tahun ini menduduki tangga ke-12 bagi menempatkan diri dalam kalangan 18 orang penerjun terbaik yang layak ke pusingan separuh akhir.
Dhabitah bermula cemerlang pada dua terjunan pertama dan berada pada kedudukan kedua.
Walau bagaimanapun, prestasinya sedikit merosot pada terjunan ketiga dan keempat dengan masing-masing mencatatkan mata 54.00 dan 48.00.
Sementara itu, penerjun China, Chen Yiwen mendahului semua peserta di tempat pertama dengan pungutan mata 356.40 diikuti Kenny Maddison dari Australia di tempat kedua dan Vazquez Montana dari Mexico di tempat ketiga.
Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016.
Nur Dhabitah akan beraksi pada pusingan akhir acara 3 meter papan anjal wanita pada 9 Ogos.
Semoga Dhabitah berjaya!