PARIS: Aniq terlepas pingat menerusi acara angkat berat apabila hanya kurang satu kilogram sahaja daripada pemenang pingat gangsa.
Atlet angkat berat Malaysia yang berasal dari Segamat, Johor ini menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara yang berlangsung di South Paris Arena 6.
Pada percubaan pertama, wakil negara berusia 22 tahun ini memulakan angkatan snatch dengan bebanan 126 kilogram.
Walau bagaimanapun, Aniq tidak dapat menyempurnakan angkatan kedua dengan bebanan 130 kilogram sebelum dia berjaya melakukan angkatan pada percubaan terakhir.
Bagi clean & jerk pula, Aniq membuka saingan dengan angkatan 167 kilogram. Namun usahanya untuk mengangkat bebanan 174 kilogram pada percubaan kedua dan ketiga tidak dapat disempurnakan.
Terdahulu, Aniq memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170 kilogram dan keseluruhan 296 kilogram.
Walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat, Mohamad Aniq bagaimanapun berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 129 kilogram milik Muhamad Aznil Bidin dengan angkatan keseluruhan 297 kilogram.
Berdasarkan laporan yang dikongsikan Bernama, Aniq meluahkan rasa kecewanya kerana terlepas peluang meraih sebarang pingat.
“Saya dah cuba angkat lebih daripada apa yang saya pernah buat sebelum ini (172 kilogram dalam latihan), tetapi tidak berjaya.”
“Jika berjaya dengan bebanan 174 kilogram itu, boleh dapat pingat perak dan buat rekod kebangsaan baharu (bagi clean & jerk). Terpaksa pulang dengan kekecewaan tapi pada masa sama, saya dapat pengalaman baharu dalam sukan ini.”
“Saya berpuas hati dengan angkatan snatch sebab dapat lawan saya punya ketakutan untuk rekod baharu, cuma clean & jerk tak jadi,” Kata Aniq.
Menurut Aniq lagi, dia berjanji untuk terus menampilkan prestasi terbaik bagi meraih pingat dalam Kejohanan Komanwel 2024 di Fiji pada 17 hingga 24 September depan.
Dalam pada itu, pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim berkata dia sangat berpuas hati dengan pencapaian Aniq yang masih muda itu.
“Ini adalah satu daripada katergori baharu untuk beliau selepas hanya setahun lepas tukar daripada kategori 55 kilogram (yang tiada dalam Olimpik). Jika digiilap dengan betul, beliau mampu menghadirkan saingan lebih baik.”
“Cuma kita berharap beliau lebih konsisten selepas ini untuk mencabar pingat dalam temasya dan kejohanan utama,” Kata Amirul.
Sementara itu, Li Fabian dari China berjaya mempertahankan pingat emasnya dengan jumlah angkatan 310 kilogram.
Pingat perak pula menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan angkatan 303 kilogram dan pingat gangsa menjadi milik Hampton Morris dari Amerika Syarikat dengan angkatan 298 kilogram.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam sukan angkat berat di pentas Olimpik adalah menerusi Tan Kim Bee yang meraih kedudukan keenam pada edisi Olimpik Melbourne 1956 dengan angkatan 395 kilogram bagi kategori 90 kilogram lelaki.