Satu hantaran tular perkongsian Tracy Truong di laman Facebook Hospitality Problems baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila memaparkan gambar seorang pemuda OKU yang bekerja di sebuah kedai kopi di Vietnam.
Tracy menulis, “Pemuda ini datang bekerja sebagai pelayan kedai kopi untuk menjana wang bagi rawatan perubatan ibunya. Pada mulanya, dia takut untuk menghidangkan kopi memandangkan dia bimbang dengan penampilannya yang berlainan, tetapi saya memanggilnya dan memberitahunya tidak mengapa. Dia melakukan kerja dengan baik dan terpuji.”

“Tiada siapa yang boleh memilih bagaimana datang bentuk kehidupan kita, tetapi kita boleh sentiasa berusaha untuk mengubah nasib hidup kita sendiri,” tulisnya.
Pemuda dalam gambar hantaran di Facebook itu bekerja di CAPA Coffee di Ho Chi Minh City, Vietnam.
CAPA Coffee merupakan kedai kopi pertama di Vietnam yang menjadi model projek, “Small Coffee Beans, Big Dreams”, yang bertujuan untuk memperjuangkan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan mewujudkan persekitaran pekerjaan yang menggalakkan dan diterima masyarakat.

Sebahagian daripada keuntungan mereka juga digunakan untuk mengumpul dana bagi menyokong golongan OKU untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Kami berbangga dapat mewujudkan persekitaran kerja yang mesra dan gembira serta sangat dinamik di mana setiap ahli berpeluang untuk menunjukkan kebolehan mereka dengan rasa berkeyakinan. Pasukan kami bekerja tanpa jemu untuk membina kepercayaan dan keyakinan kepada orang kurang upaya, membantu mereka bukan sahaja untuk bekerja dengan cekap tetapi juga untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan memuaskan,” kata hantaran itu.

“Kami percaya dengan sokongan dan rasa bersatu hati masyarakat, orang kurang upaya akan berdaya maju dan menemui sinar!” tambahnya.
Syukur kerana Malaysia sudah lama memperjuangkan nasib golongan OKU dan mereka yang bekerja mendapat layanan dan persekitaran yang baik tanpa banyak diskriminasi.