Jika di bahagian pantai timur mereka mungkin sudah biasa dengan banjir yang berlaku saban tahun. Ramai yang sudah bersedia dengan segala kemungkinan itu. Namun, tanpa disangka-sangka tahun ini banjir bukan sahaja melanda negeri-negeri di pantai timur malah bencana alam itu terjadi di negeri-negeri lain.
Ramai antara mereka yang berpengalaman berhadapan banjir sudah bersedia untuk menyelamatkan dokumen-dokumen penting. Namun, lain pula bagi sebuah keluarga ini apabila mereka membina rumah rakit untuk persediaan jika banjir berlaku lagi.
Menurut seorang pengguna Facebook, Aziela Baharudin, rumah rakit tersebut telah dibina oleh abangnya. Hal ini kerana mereka pernah dua kali berhadapan dengan banjir sebelum ini dan mereka perlu menyelamatkan pelabagai barangan rumah dan bengkel setiap kali bencana seperti itu berlaku.
Jadi, untuk mengelakkan semua itu berlaku lagi, mereka yang tinggal di Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku, Kuala Lipis itu telah memulakan projek membuat rumah rakit sejak Mei lalu. Ramai orang yang melihat usaha itu hanya tergelak tetapi tidak langsung dihiraukan mereka.
Akhirnya, banjir besar berlaku sekali lagi dan kali ini mereka sekeluarga berjaya menyelamatkan barangan rumah. Ketika banjir terjadi mereka meletakkan kesemua barangan rumah di atas rumah rakit dan mereka bersyukur kerana semuanya elok sahaja terapung di atas rumah rakit yang dibina.
Suatu ketika dahulu ada yang hanya gelak menyindir, tetapi kini terbukti usaha mereka bukan sesuatu yang sia-sia dan idea kreatif itu mampu menyelamatkan pekakas rumah yang berharga.