BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dilucutkan jawatan selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa beliau melanggar perlembagaan, dalam keputusan mengejut yang menjerumuskan negara itu ke dalam pergolakan politik terbaharu.
Keputusan itu dibuat seminggu selepas mahkamah membubarkan parti pembangkang utama, Parti Move Forward, yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya tahun lalu, menyebabkan pemimpinnya dilarang daripada menyertai politik selama 10 tahun.
Mahkamah Perlembagaan Thailand di Bangkok memutuskan pada 14 Ogos bahawa Srettha, hartawan hartanah dan pendatang baharu arena politik, melanggar peraturan etika dengan melantik seorang peguam yang telah menjalani hukuman penjara, ke dalam Kabinetnya.
Lima daripada sembilan hakim mahkamah mengundi untuk memecat Srettha dan Kabinetnya, memutuskan bahawa Perdana Menteri ‘sedar bahawa beliau melantik seseorang yang tidak mempunyai integriti moral.’
“Mahkamah memutuskan dengan majoriti bahawa jawatan perdana menteri ditamatkan di bawah perlembagaan, kerana beliau tidak menunjukkan kejujuran dalam melantik menteri ini,” kata Hakim Punya Udchachon ketika membaca penghakiman.
Hakim Punya berkata Srettha pasti tahu tentang sabitan kesalahan peguam Pichit Chuenban pada 2008 apabila melantiknya ke dalam kabinet.
“Pelantikan responden kedua (Pichit) menunjukkan responden pertama (Srettha) tidak mempunyai kejujuran dan melanggar piawaian etika,” tambah hakim itu.
Sementara itu, Srettha berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah yang memecatnya daripada jawatan Perdana Menteri dalam kes etika.
“Saya menghormati keputusan itu. Saya mengulangi bahawa selama hampir setahun saya memegang jawatan ini, saya telah mencuba dengan niat yang baik untuk memimpin negara dengan jujur,” kata Srettha kepada pemberita di luar pejabatnya selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan.
Kini, kerajaan baharu mesti dibentuk, manakala gabungan parti pemerintah pimpinan Pheu Thai, akan mengemukakan nama calon baharu sebagai Perdana Menteri.
Sepanjang dua dekad lalu, berpuluh-puluh ahli politik menghadapi larangan, parti-parti dibubarkan dan perdana menteri digulingkan dalam rampasan kuasa atau oleh keputusan mahkamah di Thailand.
Pelantikan Srettha ke jawatan tertinggi pada Ogos lalu menamatkan kebuntuan politik Thailand selama tiga bulan selepas pilihan raya 2023.
Kes terhadap Srettha difailkan pada Mei lalu oleh sekumpulan 40 bekas senator yang dilantik oleh tentera.
Mereka berusaha untuk memecatnya daripada jawatan berikutan pelantikan Pichit Chuenban, yang merupakan pembantu rapat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.