Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, direman selama dua hari.
Perintah reman hingga 10 Ogos dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret Sepang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta menyamar sebagai penjawat awam.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya untuk tindakan menceroboh, manakala bagi perbuatan menyamar sebagai penjawat awam pula boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren dan diiringi anggota polis, namun tidak kelihatan kelibat ibu atau bapa remaja itu di pekarangan kompleks mahkamah.
Pada 8 Ogos, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan seorang remaja warga tempatan ditahan kira-kira jam 9 pagi di lobi HSIS.
Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan oleh remaja berkenaan.
Wan Kamarul Azran berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek telah menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan, berkata pihaknya mengambil maklum kepada pihak berkenaan dan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.
“Pada 7 Ogos 2024, pihak pengurusan HSIS Serdang menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan bertugas di HSIS.
“Tindakan pantas pihak HSIS berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis sudah dibuat,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, polis kemudian berjaya menahan remaja terbabit atas kebenaran dan hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan pengenalan palsu untuk menyamar sebagai kakitangan HSIS.