PARIS: Belum rezeki Nur Dhabitah, Bertrand bawa pulang pingat bagi kategori masing-masing daripada Sukan Olimpik edisi Paris 2024.
Nur Dhabitah Sabri menamatkan perjalanan di Pusat Akuatik Olimpik Paris dengan menduduki tangga ke-12 daripada 12 peserta pada saingan akhir acara 3 meter papan anjal wanita.
Dhabitah memulakan saingan akhir dengan prestasi yang baik pada pusingan pertama dan kedua terjunan dengan catatan mata masing-masing, 63.00 dan 60.00.
Walau bagaimanapun, Dhabitah terkandas pada pusingan ketiga dan keempat dengan catatan mata masing-masing, 37.50 dan 28.50.
Walaupun berjaya bangkit pada pusingan akhir, namun harapan untuk Dhabitah merangkul pingat tidak kesampaian kerana catatan mata yang diperoleh amat rendah berbanding semua penerjun.
Terdahulu, Dhabitah menduduki tangga ke-8 daripada 12 orang penerjun terbaik yang layak ke pusingan akhir.
Sementara itu, Bertrand Rhodict Lises yang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik gagal menempatkan diri untuk mara ke pusingan separuh akhir.
Hal ini kerana, Bertrand gagal pada pusingan awal acara 10 meter platform individu lelaki dengan berada pada kedudukan ke-25 daripada 26 penerjun.
Bertrand menunjukkan prestasi baik pada pusingan pertama dan kedua namun terkandas berturut-turut pada pusingan ketiga, keempat dan kelima dengan catatan mata bawah 50.00.
Pada pusingan terakhir, Bertrand berjaya memperbaiki prestasi dengan catatan mata 65.60.
Memetik laporan yang ditulis Bernama, Bertrand meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat melaksanakan terjunan yang baik.
“Boleh dikatakan ia bukan persembahan terbaik saya dan bukan juga yang terburuk, tetapi berada di peringkat ini, saya rasa seperti tidak berjaya. Tekanan mengganggu saya (semasa pertandingan).”
“Saya tidak dapat fokus dan beraksi dengan baik, jadi ini penghujung Sukan Olimpuk saya. Saya tidak boleh bercakap banyak kerana ia merupakan terjunan baharu, perkara baharu bagi saya, kemudian dengan tekanan, saya tidak dapat melaksanakannya dengan baik.”
“Sudah pasti saya akan bangkit dengan lebih bertenaga untuk kejohanan seterusnya. Ini hanya permulaan, mudah-mudahan saya dapat memberikan persembahan lebih baik pada pertandingan akan datang.” Kata Bertrand.
Walaupun gagal membawa pulang pingat, Malaysia menghargai jasa Nur Dhabitah dan Bertrand kerana telah bekerja keras dan mempamerkan prestasi yang baik bagi kategori masing-masing.