Penyanyi Brazil meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik selepas dia dipeluk peminat yang basah kuyup.

Ayres Sasaki, 35, ketika itu sedang membuat persembahan secara langsung di Hotel Solar di Salinopolis, Brazil pada 13 Julai lalu.
Kemalangan maut itu terjadi apabila seorang peminat yang basah kuyup memeluk penyanyi dan pemain gitar tersebut.
Tindakan tersebut telah menyebabkan Sasaki serta-merta terkena renjatan elektrik daripada kabel elektrik yang berhampiran.
Polis Sivil Brazil masih menyiasat keadaan sebenar yang menyebabkan peminat tersebut basah kuyup.
Sasaki, yang terkenal kerana bakat nyanyian dan permainan gitarnya khususnya di Belem, sebuah bandar di utara Brazil meninggalkan Mariana, isteri yang baru dikahwininya setahun lalu.
Sasaki juga terkenal sebagai “raja persembahan” kerana kebolehannya mengadakan persembahan selama 12 jam tanpa henti.

Adriano Freitas, seorang penyanyi dan rakan karib Sasaki memberikan penghormatan terakhir dengan berkata, “Kami berkawan dalam kehidupan seharian, melebihi muzik.”
Adrioano menyifatkan Sasaki seorang lelaki yang sangat berkarisma dan mempunyai bakat luar biasa. Baginya Sasaki adalah penyanyi dan pemain gitar terbaik di Belem.
Di samping itu, pelawak Natto Almeida juga mengingati Sasaki kerana kebaikannya dengan mengatakan, “Perkara yang pasti menonjol tentang Sasaki ialah hatinya yang baik, sangat sopan.”
“Saya rasa inilah tanda kekal yang dia tinggalkan.”
Hotel Solar melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Sasaki. Mereka berjanji akan memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan yang sedang dijalankan.
“Kami berdedikasi sepenuhnya untuk memberikan sokongan kepada keluarganya dan mengambil langkah-langkah yang perlu.”
“Kami mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama sepenuhnya dengan piihak berkuasa yang berkenaan untuk menjelaskan kejadian tersebut.”
Selain kerjaya muziknya, Sasaki juga merupakan seorang arkitek dan perancang bandar yang berjaya.
Keluarga Sasaki masih terkejut dengan berita pemergiannya yang secara tiba-tiba. Mereka sekeluarga memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut sehingga proses siasatan rasmi selesai.