PETALING JAYA: Baju atlet paralimpik ke Sukan Paralimpik Paris 2024 dipuji ramai kerana dilihat lebih menyerlah, segar, cantik dan ‘international’.
Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) berkongsi rekaan baju yang tampil dengan rona putih sebagai warna utama tersebut di X.
Konsep belang harimau masih dikekalkan namun ditukar dengan warna biru, merah, kuning dan kelabu pada rekaan berkenaan.
PCM telah memilih atlet paralimpik seperti Muhammad Imaan Aiman dan Abdul Razzaq Abdul Rahman sebagai model untuk memperagakan pakaian tersebut.
Menerusi ruang komen, rata-rata warga siber memuji rekaan baju atlet paralimpik tersebut.
Temasya Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung di Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos. Sementara Sukan Paralimpik Paris 2024 pula akan bermula dari 28 Ogos hingga 8 September depan.
Semoga atlet paralimpik negara beroleh kejayaan di Sukan Paralimpik Paris 2024 nanti.