KUALA LUMPUR: Leftenan Muda Chan Ming Youn yang merupakan penuntut tunggal berbangsa Cina berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Komando.

Kejayaan tersebut bukan sahaja wajar dijadikan inspirasi bagi seluruh anak muda Malaysia khasnya bukan Bumiputera. Bahkan ini juga membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan hanya untuk satu kaum sahaja.
Menurut Ming Young, selepas mengikuti program Askar Wataniah semasa menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman minatnya untuk menyertai latihan komando itu mula dipupuk.
Kata graduan jurusan perakaunan itu lagi, segala-galanya berubah ketika menyertai Askar Wataniah tersebut.
“Saya menyertai Rejimen 515 Askar Wataniah dan sejak itu saya dapat segala ilmu, pengalaman dan pengetahuan mengenai bidang ini termasuk berkaitan komando.”
“Disebabkan mahu mencabar diri, saya sertai latihan asas komando ini dan mahu tunjukkan walaupun saya hanyalah Askar Wataniah, tetapi saya juga mampu menjadi seorang komando,” Katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka.
Seramai sembilan pegawai dengan 60 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) menerima Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando dalam majlis itu.
Mereka menerima penganugerahan berkenaan selepas berjaya menamatkan pelbagai peringkat latihan selama 12 minggu.
Leftenan Muda Ming Young yang juga dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) berkata, beliau akan menambah lagi pengetahuan serta kepakaran sekali gus mampu menjadi pegawai yang berkualiti seterusnya membawa nama baik komando.

Sementara itu, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah dalam ucapannya mengingatkan pegawai dan anggtoa komando untuk sentiasa menjaga keagungan Beret Hijau sebagai sebuah imej pengendali pasukan khas yang profesional dan kompeten kerana ia adalah maruah dan kebanggaan Gerak Khas.
“Jagalah maruah Beret Hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara semua yang bertungkus-lumus untuk mendapatkannya.”
“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” katanya.
Mengikut statistik Kementerian Pertahanan seperti yang dikongsikan oleh bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada tahun lalu, penyertaan bukan Bumiputera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) begitu rendah, iaitu sekadar tiga peratus.
ATM mensasarkan sekurang-kurangnya lebih 10 peratus bukan Bumiputera menyertai pasukan keselamatan negara.
Biarpun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menarik lebih ramai lagi bukan Bumiputera menyertai ATM, namun belum menampakkan hasil.
Antara punca bukan Bumiputera enggan menyertai ATM adalah disebabkan faktor gaji rendah atau tidak setara berbanding tawaran yang ditawarkan oleh sektor swasta.
Selain itu, terdapat tanggapan negatif yang wujud seperti ATM hanya mengutamakan Bumiputera dan Melayu dan selain menganggap pasukan itu bertaraf kelas rendah.
Diharapkan dengan kejayaan Leftenan Muda Ming Young ini sedikit sebanyak menyuntik semangat patriotik dalam kalangan bukan Bumiputera khasnya untuk menyertai ATM.