Baru-baru ini tular video beberapa orang pelancong didapati bertindak merosakkan keindahan bunga Sakura di Jepun.
Aksi beberapa orang pelancong yang menggoncangkan dahan pokok Sakura atau cherry blossom tersebut dirakam sendiri oleh bekas wartawan dan pembaca berita TVB, Akina Fong.
Menerusi video berkenaan, pelancong wanita berbaju biru dan hitam dilihat menggoyangkan dahan pokok Sakura itu dengan kuat sehingga menyebabkan bunga-bunga Sakura berguguran ke tanah.
Dipercayai tindakan mereka adalah demi mendapatkan pemandangan cantik ketika merakam gambar atau video dengan menggunakan telefon pintar mereka.
Difahamkan, Akina dan suaminya sedang makan di sebuah restoran ketika kejadian tersebut berlaku. Dengan pantas, Akina merakam aksi pelancong tersebut dan memuat naik video tersebut di Instagram miliknya. Rata-rata warga siber menunjukkan rasa marah dan kesal setelah melihat tindakan pelancong tersebut.
Sebenarnya, terdapat etika melihat bunga Sakura atau disebut Hanami di Jepun yang perlu dipatuhi oleh semua orang baik penduduk tempatan mahupun pelancong dari luar negara.
- Bawa pulang sampah dan pastikan taman bersih.
- Makan dan minum di bawah pokok bunga Sakura memang menenangkan. Namun keindahan bunga Sakura tidak akan dapat dinikmati seandainya taman dipenuhi sampah. Oleh itu, pengunjung mesti memastikan taman bersih sama ada membuang sampah di bekas yang disediakan atau membawanya pulang.
- Jangan membuat bising.
- Tiada siapa melarang untuk pengunjung bercakap, bertukar-tukar cerita namun tindakan menjerit, memainkan muzik dengan kuat adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan di sana.
- Tempah ruang yang anda perlukan sahaja.
- Pastikan anda tahu bilangan sebenar ahli keluarga atau rakan-rakan yang akan bersama-sama dengan anda di taman. Ini penting untuk memastikan anda hanya menempah ruang yang anda perlukan sahaja. Sekiranya anda menempah ruang namun tidak digunakan, ini akan menyebabkan pengunjung lain tidak berpeluang menikmati keindahan Sakura di situ.
- Jangan sesekali sentuh pokok Sakura.
- Terdapat beberapa tempat yang dikawal ketat demi memastikan keindahan pokok Sakura terus terjaga. Pengunjung juga tidak sepatutnya memetik bunga Sakura, mematahkan dahan atau mengukir nama masing-masing pada batang pokok Sakura. Mungkin anda mahukan gambar anda kelihatan estetik dengan bunga-bunga Sakura yang berguguran. Namun tindakan menggoncangkan pokok bukanlah tindakan bijak yang anda boleh lakukan. Ini kerana kesan tindakan tersebut boleh menyebabkan pokok tersebut rosak atau mati. Jika ditangkap, anda boleh dikenakan denda oleh pihak berkuasa tempatan.
Jika anda hendak menikmati keindahan bunga Sakura di Jepun dengan aman dan tenteram, anda perlu menuruti semua etika yang telah ditetapkan oleh mereka.