LUMUT: Seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pada pagi Selasa, 23 April.
Dua helikopter yang terdiri model (HOM) M502-3 dan (Fennec) M503-3 itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
Berdasarkan paparan video yang tular, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika sedang membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut pada 3 hingga 5 Mei ini.
Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Pelanggaran itu telah menyebabkan pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, dan pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Ketika kejadian, pesawat HOM membawa empat kru dengan tiga penumpang, manakala Fennec membawa tiga kru.
Menurut laporan awal, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, seramai 10 mangsa terlibat dalam nahas itu.
Ketika ini pihak bomba masih dalam proses mengeluarkan beberapa mangsa yang terlibat daripada kedua-dua helikopter berkenaan.
Tiada mangsa yang terselamat dalam nahas setelah ia disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).