Dua individu berada di dalam pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar, Klang pada Selasa, 13 Februari, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pihak polis mengesahkan kedua-dua mangsa telah terkorban.
Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Hussein Wan Omar berkata mangsa, seorang juruterbang dan pembantu juruterbang berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Menurut Hussein, kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan pada 13 Februari berkata siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.
Norazman berkata, hubungan terakhir antara pesawat dan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 1:35 tengah hari, namun tiada panggilan kecemasan diterima.
“Pusat Koordinasi Penyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) segera diaktifkan untuk mengenal pasti lokasi sebenar pesawat itu,” katanya.
Pesawat itu adalah model BK 160 Gabriel dan diuruskan oleh Air Adventure Flying Club.

Pesawat malang berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor, pada 1.28 petang bagi tujuan penerbangan rekreasi.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar, Klang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.56 petang Selasa, 13 Februari.
“Kita sampai di lokasi kejadian dan mengesahkan pesawat ringan jenis ‘Air Craft Aviation Safety Technology’ telah terhempas dan terbakar.
Kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan.
Kawasan seluas 50 meter radius dari tempat kejadian telah ditutup bagi memudahkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) serta siasatan, kata Hussein.
Kedua-dua mangsa akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat dan pengecaman sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.