PETALING JAYA: Seorang suami melahirkan rasa terkejut apabila menerima bil bedah otak isterinya berjumlah RM258 sahaja dari hospital kerajaan.
Lee Vi Hua berkongsi perkara tersebut di Facebooknya. Dia bersyukur kerana bukan sahaja bilnya murah, tetapi pembedahan isterinya juga berjalan dengan lancar.
Menurut Lee, isterinya mula mengalami sakit kepala yang teruk sejak Disember lalu sebelum dirawat dengan ubat penahan sakit di klinik.
Setelah mengalami ketidakselesaan yang berterusan, Lee terus membawa isterinya ke hospital swasta.
Di sana, Lee dimaklumkan bahawa isterinya itu mengalami pendarahan otak yang kritikal.
“Doktor memberitahu isteri perlu menjalani prosedur ‘coiling’ otak dengan segera yang mana rawatan itu tidak ada di hospital swasta dan sesetengah hospital swasta sahaja.
“Jadi pada mulanya saya memilih untuk meneruskan pembedahan di sebuah hospital swasta di mana kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM150,000.
“Tetapi rancangan berubah apabila isteri disahkan positif COVID-19 pada 17 Disember, yang memerlukan pemindahan ke hospital kerajaan di Johor Bharu,” tulisnya.
Pada 23 Disember, mereka berdepan dengan satu lagi cabaran apabila doktor pembedahan dari kedua-dua hospital swasta dan kerajaan sedang bercuti.
Namun pada 7 Januari lalu, isteri Lee akhirnya menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar dari hospital selepas dua hari kemudian.
“Pembedahan itu berjaya dan pengalaman pahit itu berakhir selepas perjuangan selama 26 hari.
Lee memberitahu dia berasa terkejut kerana perlu membayar RM258 sahaja bagi bil bedah otak tersebut ketika mendaftar keluar.
Jumlah itu dirasakan tidak munasabah selepas mendapat perkhidmatan terbaik daripada doktor bedah dan tiga bulan dirawat di hospital.
“Malaysia sememangnya mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang paling mesra untuk rakyatnya.
“Sekiranya kami memilih hospital swasta, kosnya mungkin sekurang-kurangnya 1000 kali lebih tinggi,” ujar Lee.