Secara kebiasaan, kebanyakan pasangan pengantin memilih untuk menaiki kenderaan mahal untuk melengkapkan kenangan mereka sebagai pasangan pengantin baharu.
Namun, pasangan pengantin dari Perak memilih rakaman momen terindah lain daripada yang lain dengan menaiki kenderaan lasak pacuan empat roda jenama popular ‘Jeep’ lengkap dalam persalinan busana pengantin mereka.
Harian Metro melaporkan pasangan pengantin baharu Ahmad Zuhaili Zikri Abdullah, 30 dan Fatin Norshaheerah Abdul Latiff, 26 bertemu buat pertama kali sehingga ke jinjang pelamin ketika melakukan aktiviti lasak.
Mereka memutuskan untuk melakar memori hari bahagia tersebut dengan membuat aktiviti yang sama sebagai kenangan tidak akan dilupakan.
Menurut pengantin perempuan, dia dan suami yang meminati aktiviti lasak berkenaan menunjukkan aksi tersebut di ladang sawit milik bapa di rumah mereka di Kampung Changkat Semanton di Parit, Perak.
Aktiviti lasak dengan menaiki ‘Jeep’ itu telah dirancang oleh bapa mereka selepas majlis perkahwinan dan persandingan tamat.
“Memang ayah sudah rancang untuk ‘bermain’ pacuan empat roda selepas majlis saya yang mana sebanyak 10 kenderaan rakan ayah dari Perak datang menghadiri majlis dan aktiviti itu di sebelah petang.
“Saya dan suami ketika itu datang melihat mereka di ladang sebelum mengambil gambar di luar. Ketika itu ramai juga rakan ayah minta tunjuk aksi jadi kami sahut saranan mereka secara spontan biarpun memakai baju pengantin,” kata pengantin perempuan.
“Kami memang sudah biasa melalui trek yang berlubang, becak dan berhalangan, tetapi kami masing-masing co-pilot ketika menjalankan aktiviti. Aktiviti itu juga menemukan kami pada program di Bukit Bauk, Terengganu pada Jun tahun lalu.
“Saya didedahkan dengan aktiviti lasak itu sejak berusia 11 tahun kerana ayah memang minat aktiviti itu, malah dia selalu membawa kami sekeluarga berkhemah di hutan, namun tetap bergantung dengan trek juga,” jelasnya.
Pasangan suami isteri itu hanya memandu sejauh 300 meter sahaja dan mereka kemudian berhenti di perhentian pertama trek untuk mengambil gambar kenangan di luar, namun sempat merakam beberapa gambar di kenderaan pacuan empat roda berkenaan.