PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya tiada cadangan ulang PKP seperti yang berlaku pada awal pandemik Covid-19.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media.
Walaupun Malaysia kini berhadapan dengan peningkatan kes yang mendadak, Dr Dzulkefly berharap pasukannya dapat menangani kes Covid-19 ini.
“Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes Covid-190 yang mendadak.
“KKM berharap agar situasi ini dapat ditangani tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP yang berlaku pad awal pandemik Covid-19,” katanya.
Jelas Dr Dzulkefly, sebanyak 20,696 kes baharu dicatatkan pada Minggu Epidemiologi 50 dari 10 hingga 16 Disember 2023.
Peningkatan itu adalah sebanyak 62.2 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 49.
“Majoriti 97 peratus lagi adalah kategori satu dan dua.
“Manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawtan Rapi ialah 151 kes yang mana 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Kes kematian adalah sebanyak 28 kes dengan kadar kematian 0.1 peratus,” kata Dr Dzulkefly.
Jumah kematian tertinggi dalam kalangan kes yang berusia 60 tahun ke atas adalah 85 peratus.
Manakala yang mempunyai komorbiditi adalah 93 peratus.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di laman web KKMNOW.
“Data ini akan dikemaskini secara mingguan,” kata Dr Dzulkefly.
KKM juga telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama:
- Strategi Pertama – Pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2
- Strategi Kedua – Pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform dan Seek.
- Strategi Ketiga – Pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.
- Strategi Keempat – Pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan.
- Strategi Kelima – Pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.
Mengenai suntikan vaksin Covid-19 dan dos penggalak pula, sesiapa yang ingin mendapatkannya boleh ‘walk-in’ (jumpa terus) atau buat janji temu.
“Kita beri kemudahan untuk mendapatkan dos penggalak atau vaksin,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Tambah Dr Muhammad Radzi, stok vaksin Covid-19 di negara ini masih lagi mencukupi buat masa sekarang.
“Saya tahu banyak kebimbangan yang kita menerima jumlah pelancong dari luar seperti China dan sebagainya.
“Buat masa ini, kita sekarang melakukan pemantauan.
“Apa-apa yang kita jumpa adalah merupakan virus yang sedia ada. Tidak ada varian virus baharu,” kata Dr Muhammad Radzi.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa pengimbasan MySejahtera di mana-mana premis masih tidak lagi diperlukan.