KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Malaysia diculik di Manila, Filipina, ditemui mati dibunuh pada 23 Oktober lalu oleh sekumpulan lelaki.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa dilaporkan diculik sehari sebelum mayatnya ditemui di San Simon, Pampanga.
Pada 24 Oktober, Pejabat Polis Atase Malawakil Manila telah menerima aduan daripada seorang rakyat Malaysia mengenai penculikan adiknya di Manila.
Adik lelaki tersebut yang bekerja di Manila diculik pada 22 Oktober oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali.
Namun pada 23 Oktober, pihak Philippine National Police (PNP) menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang lelaki.
Diskripsi fizikal dan tatu pada mayat itu sama dengan diskripsi fizikal dan tatu mangsa penculikan.
“Sebelum kejadian, penculik meminta wang tebusan sebanyak RM330,000 daripada abangnya yang dibayar melalui aplikasi crypto wallet USDT”, katanya pada Isnin.
Menurut Ramli, Pejabat Polis Atase Malawakil Manila telah memohon bantuan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk analisis terhadap aliran transaksi ke dalam crypto wallet milik seorang suspek yang terlibat dalam kes tersebut.
“Analisis yang dijalankan kemudiannya telah berjaya mengesan aliran transaksi crypto wallet tersebut.
“Aliran transaksi crypto wallet tersebut dipindahkan ke salah satu ‘exchange’ yang tidak didaftarkan di Malaysia,” katanya.
Hasil maklumat tersebut identiti enam suspek warga asing berjaya didedahkan.
Maklumat itu dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes rakyat Malaysia diculik dan dibunuh berkenaan.
“Kesemua maklumat tersebut telah diserahkan kepada Pejabat Polis Atase Malawakil Manila untuk siasatan selanjutnya,” kata Ramli.