KLANG: Tiga penyamun bersenjatakan botol ubat nyamuk yang melarikan wang tunai dan tiga tabung derma dari sebuah kedai runcit berjaya diberkas polis.
Penahan ketiga-tiga suspek lelaki berusia 23 hingga 35 tahun itu dilakukan antara pukul 8.30 hingga 11 malam di sekitar Kuang dan daerah ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, hasil siasatan mendapati empat penyamun menyamar sebagai pelanggan di sebuah kedai runcit di Kampung Johan Setia di sini.
Semasa kejadian terdapat hanya seorang pekerja di kedai runcit tersebut.
“Secara tiba-tiba seorang daripada suspek mengeluarkan pemetik api dan botol penyembur disyaki ubat nyamuk dan membakar di hadapan mangsa bagi menakutkannya.
“Dua suspek masuk dalam kawasan kaunter dan mengambil duit, dua karton rokok, tiga tabung derma dan telefon bimbit pekerja itu.
“Mereka melarikan diri menggunakan kereta Perodua Alza berwarna silver,” katanya.
Mangsa, walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaaan.
Sementara itu, kerugian yang dialami mangsa dianggarkan bernilai RM800.
Menurut Hoong Fong, sepasukan polis akhirnya berjaya menahan seorang suspek di Kampung Bunga Raya, Kuang dan dua orang lagi di Bukit Tinggi Klang.
Turut dirampas adalah pakaian dan beberapa barangan kes bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 11 rekod lampau jenayah dan tujuh berkaitan dadah.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama lima hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan adegan jenayah samun di mana seorang daripadanya menyalakan api daripada semburan ubat nyamuk.
Penyamun bersenjatakan botol ubat nyamuk itu juga dikatakan mengarah mangsa agar tidak bergerak sepanjang jenayah tersebut dilakukan mereka.