Kehidupan Laura Barajas, dari San Jose, California berubah selama-lamanya selepas anggota badannya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang teruk.
Selepas dimasukkan ke hospital dan bergelut dengan simptom selama lebih sebulan, wanita itu menjalani pembedahan menyelamatkan nyawa pada 13 September lalu, yang melibatkan kaki dan tangannya terpaksa dibuang.
Menurut rakan Barajas, Anna Messina, Barajas jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital pada Julai lalu, selepas dia memasak dan memakan ikan tilapia yang dibelinya dari pasar di San Jose, lapor Kron4.
Messina percaya tilapia itu mungkin kurang masak, didakwa menyebabkan Barajas mendapat jangkitan kuman dikenali Vibrio vulnificus. Ini berlaku selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tentang jangkitan yang sama.
Menurut CDC, Vibrio vulnificus merupakan jangkitan yang disebabkan oleh pengambilan makanan laut atau air tawar yang mentah atau kurang masak, atau dengan mendedahkan luka kepada air laut. Bakteria pemakan daging ini boleh menyebabkan jangkitan yang mengancam nyawa serta boleh membawa kepada komplikasi, seperti amputasi anggota badan.
Bagaimanapun, difahamkan keluarga Barajas masih menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai punca sebenar keadaannya.
“Dia hampir kehilangan nyawanya. Dia menggunakan alat pernafasan,” kata Messina kepada Kron4, menjelaskan tentang keadaan Barajas sebelum pembedahan.
“Mereka terpaksa meletakkannya dalam keadaan koma untuk rawatan perubatan lanjut. Jarinya hitam, kakinya hitam, bibir bawahnya hitam. Dia mengalami sepsis lengkap dan buah pinggangnya gagal,” tambah Messina.
Messina juga berkata keadaan itu telah membebankan keluarga dan rakan-rakan Barajas, sambil menekankan kejadian malang itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Memandangkan keadaan Barajas, Messina memulakan GoFundMe untuk membantu membayar kos perubatan rakannya.
Dalam hantarannya, Messina berkata, “Keluarga ini sangat memerlukan bantuan kami. Walaupun Jose (suaminya) mempunyai manfaat kesihatan melalui pekerjaannya, ia masih tidak dapat dipastikan sama ada ia akan boleh melindungi Laura, pasangannya selama lapan tahun.”
Messina juga menambah bil hospital sangat banyak, dan keadaan fizikal Barajas memerlukan pelarasan belanja yang besar untuk menampung perubahan baharu. Justeru, Messina merayu orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi keluarga Barajas.
GoFundMe telah mengumpul lebih USD95,000 (kira-kira RM445,550) untuk keluarga itu.