Mengikut undang-undang, semua pengguna jalan raya diwajibkan mematuhi arah papan tanda jalan. Tiada siapapun yang terkecuali daripada pematuhan undang-undang yang telah ditetapkan, termasuklah agensi penguatkuasa.
Begitulah hal yang berlaku di kawasan tempat letak kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya apabila sebuah motosikal pasukan milik seorang anggota polis dirakam telah dikunci oleh seorang pengawal keselamatan di premis itu.
Berdasarkan video yang dimuatnaik oleh @nanmanjoi8715 di laman Twitter, dapat dilihat bahawa seorang anggota polis sedang berunding dengan pengawal keselamatan di petak parkir OKU untuk membuka kunci yang diletakkan pada tayar motosikal anggota terbabit. Tidak dapat dinafikan, bahawa kesalahan yang dilakukan amat jelas sehingga kenderaan tersebut terpaksa dikunci oleh pengawal keselamatan yang amanah itu.
Berikutan itu, siaran media oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah memaklumkan bahawa anggota polis berkenaan telahpun dikenakan saman atas kesalahan yang dilakukannya. Siasatan yang dijalankan juga mendapati bahawa kejadian itu berlaku pada 29 Mei lalu lebih kurang jam 11.30 pagi.
Sehubungan itu, pihak polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi arah papan tanda jalan dan pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan sesiapapun yang didapati melanggar undang-undang.
Sehingga entri ini ditulis, kiriman ini telahpun meraih sehingga lebih dari 47,300 tontonan, 438 sukaan, 393 ulang ciap dan beberapa orang warganet turut meninggalkan komen pujian kepada pengawal keselamatan itu kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amanah.
Petugas yang mementingkan tanggungjawab beginilah yang kita mahukan, terbaiklah!
Pilihan Editor: