Seperti yang kita sedia maklum, pada 6 Mei yang lalu, Istiadat Pemahkotaan Raja Charles III telah berlangsung di Gereja Westminster Abbey, London yang dihadiri oleh ramai tetamu kehormat dari seluruh dunia untuk menyaksikan sendiri istiadat pemahkotaan yang penuh gilang-gemilang itu.
Dan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga merupakan salah satu pasangan diraja yang turut dijemput menghadiri istiadat itu. Walau bagaimanapun, kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri nampaknya bukan sahaja turut mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia sahaja, malah, turut mencuri perhatian media antarabangsa, Harpers Bazaar, yang telah menyenaraikan Baginda berdua dalam senarai busana terbaik yang digayakan sempena istiadat tersebut.
Lebih membanggakan, busana yang digayakan oleh Baginda berdua mendapat tempat ke-5 daripada 14 senarai tersebut.
Sempena istiadat berkenaan, Yang di-Pertuan Agong telah menggayakan sut putih berseluar hitam bersama dengan selempang merah, manakala baginda Permaisuri Agong pula menggayakan baju kurung berwarna kuning diraja bersama dengan selendang serta perhiasan berwarna perak.
Menurut laporan Kosmo!, busana yang digayakan oleh baginda Permaisuri Agong direka oleh pereka fesyen tersohor Malaysia, Dato’ Rizalman Ibrahim.
Selain daripada Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri yang telah disenaraikan sebagai busana terbaik di tempat yang kelima, beberapa pasangan diraja lain dari seluruh dunia turut sama disenaraikan dalam artikel dari media antarabangsa tersebut.
Antaranya adalah seperti persalinan yang dipakai oleh Raja Felipe IV dan Permaisuri Letizia daripada Sepanyol yang mendapat kedudukan pertama. Seterusnya diikuti oleh persalinan yang digayakan oleh Raja Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida dari Thailand di tempat kedua.
Di tempat ketiga pula adalah persalinan yang dipakai oleh Pemerintah Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan isteri, Sheikha Jawaher Hamad Suhaim Al Thani. Kemudian, di tempat yang keempat pula diberikan kepada Putera Mahkota Frederik dan isteri, Puteri Mary dari Denmark yang kemudiannya diikuti oleh Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri di tangga yang kelima.
Pilihan Editor: