Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam bagi enam negeri di seluruh negara. Notis tersebut dikeluarkan pada 27 Januari, jam 5.00 petang.

Negeri yang terbabit ialah Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Kawasan berisiko terjejas di negeri Perak ialah daerah Kerian (Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah serta kawasan sekitarnya).
Bagi negeri Pahang, daerah yang berisiko ialah Kuantan (Mukim Sungai Karang serta kawasan sekitarnya).
Di Terengganu pula, daerah yang berisiko banjir kilat ialah Kuala Terengganu (Mukim Cenering, Mukim Batuk Buruk, Mukim Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya) dan daerah Marang (Mukim Bukit Payung serta kawasan sekitarnya).
Daerah Kota Bharu, Kelantan (Mukim Padang Raja, Mukim Tiong, Mukim Tok Ku serta kawasan sekitarnya) juga antara kawasan yang berisiko dilanda banjir kilat.
Bagi Sarawak pula, daerah yang diberikan amaran banjir kilat ialah Kuching, Samarahan dan Miri. Manakala di Sabah pula, daerah Tuaran di Pekan Tenghilan, Kampung Berungis serta kawasan sekitarnya diberikan amaran yang sama.
Menurut kenyataan JPS, notis yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS.
Katanya, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.
Anda boleh melihat info terkini mengenai banjir di tempat anda melalui laman sesawang rasmi Public InfoBanjir.

Selain itu, melalui laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, anda boleh mendapatkan maklumat mengenai cuaca semasa, amaran bencana alam dan lain-lain lagi.

Semua penduduk khususnya di kawasan yang disebutkan hendaklah berwaspada dan bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan.
Pilihan Editor: