Dari masa ke masa, rangkaian restoran makanan segera akan melancarkan produk terbaharu untuk menambat hati pelanggan sedia ada disamping menarik perhatian pelanggan baharu. Kebiasaannya, menu baharu akan dilancarkan dalam waktu terhad untuk melihat reaksi pelanggan. Hal ini sudah tentu akan membuatkan pelanggan tidak sabar dan teruja untuk mencubanya. Pada 12 Julai lalu, KFC Korea Selatan telah melancarkan sos berperisa coklat pudina sebagai sos baharu mereka. Bagaimana agaknya penerimaan pelanggan di sana terhadap sos baharu itu, ya?

Demi memperkenalkan sos baharu itu, KFC Korea Selatan baru-baru ini telah bekerjasama dengan Baemin, sebuah platform bawa pulang. Baemin yang pada dasarnya berlatarbelakangkan warna pudina itu memainkan peranan penting dalam mengiklankan sos berperisa coklat pudina ini.

Sejak KFC Korea Selatan melancarkan sos berperisa coklat pudina itu, ia menjadi topik hangat yang dibincangkan dirangkaian sosial media Korea. Sesetengah netizen tidak boleh menerima sos itu kerana rasanya seperti ubat gigi dan warna sos itu tidak menarik dan tidak menyelerakan. Sos yang boleh didapati dalam masa terhad ini dijual dengan harga 900 won iaitu kira-kira RM3.
Bagaimanakah agaknya rasa apabila ayam goreng dicicah dengan sos berperisa coklat pudina? Ada netizen yang mencelupkan sos ini pada hamburger dan kentang goreng dan mereka berpendapat rasa yang berbeza jika dicelup dengan ayam goreng.
Salah seorang netizen telah memuat naik gambar dia mencelupkan ayam goreng ke dalam sos berperisa coklat pudina itu. Katanya dia terkejut dengan rasa yang lahir daripada kombinasi ayam goreng dan sos tersebut. Dia hanya mencubanya sekali dan tidak berasa pelik dengan sos tersebut. Nampaknya dia boleh menerima sos tersebut.

Lain pula pendapat seongbin2505 ini. Dia telah cuba merasai sos berperisa coklat pudina dengan burger dan ayam goreng dan ternyata tekaknya tidak boleh menerima sos itu. Dia berkata, walaupun selepas 12 jam, dia tidak menjamah makanan lain kerana masih berasa loya selepas mencuba sendiri sos tersebut.

Bagi rubyar75 pula, dia telah mencuba sos tersebut bersama dengan ketulan ayam. Katanya rasanya agak menarik tetapi dia tidak akan mencubanya lagi.

Ramai lagi yang memberikan pendapat mengenai sos tersebut. Kesimpulannya, ada yang boleh menerima sos berperisa coklat pudina itu dan ada yang tidak boleh menerimanya. Ada juga yang berpendapat sos tersebut ‘pelik rasanya’.
Jika KFC Malaysia memperkenalkan sos berperisa coklat pudina ini dalam menu mereka, adakah rakyat Malaysia boleh menerimanya? Adakah anda akan mencubanya?