Seorang lelaki berusia 28 tahun dari Terengganu maut kerana tercekik ketulan daging ketika sedang makan sup tulang di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jerteh pada 13 Julai.
Kerani kedai perkakasan, Wan Azlan Wan Ishak baru pulang dari kerja pada jam 5.15 petang dan sedang mencari sesuatu untuk dimakan sebelum insiden berlaku, lapor Harian Metro.
Ibu bapa dan kakak mangsa berada di rumah ketika kejadian.
Wan Azlan tidak pernah makan hidangan tulang lembu sebelum ini, kata kakak mangsa, Wan Suria Wan Ishak, 32 tahun.
“Apabila sampai di rumah, Lan terus ke dapur untuk memanaskan sup tulang sebelum memakannya,” katanya.
“Dia tidak pernah makan apa-apa sup daging lembu sebelum ini. Lauk kegemarannya ialah ayam dan dia juga tidak makan ikan kerana trauma pernah tercekik tulang ikan sebelum ini,” jelas Wan Suria.
Mangsa tercekik ketulan daging semasa sedang membersihkan dapur.
“Mungkin disebabkan sangat lapar selepas baru balik kerja, jadi dia terus menelan daging itu walaupun ia sedikit liat susah sikit hendak hancur,” tambahnya.
Malangnya, walaupun Wan Suria telah cuba memberi bantuan kecemasan namun tidak berjaya, mangsa tidak sedarkan diri dan meninggal dunia.
Wan Suria berkata arwah pada mulanya menjerit meminta tolong daripada ibu mereka memberi isyarat yang dia tercekik dan mengalami sesak nafas.
“Saya cuba membantunya tetapi tidak berjaya, jadi saya sempat meminta arwah mengucap kalimah syahadah sebelum dia tidak sedarkan diri,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.50 petang.
Menurut Wan Suria, arwah adiknya sangat rapat dengan ahli keluarga mereka dan amat disenangi semua kenalannya.
Allahyarham Wan Azlan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Landak pada kira-kira jam 12.00 tengah malam.
Berikut adalah panduan yang boleh anda lakukan sekiranya terdapat seseorang mengalami situasi kecemasan tercekik dengan serius:
1. Arahkan seseorang untuk memanggil ambulans dengan secepat mungkin.
2. Teliti dahulu sebelum melakukan teknik ‘Heimlich Maneuver’ iaitu teknik keselamatan universal yang digunakan seluruh dunia untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami masalah kesukaran tercekik sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
- Mangsa terbatuk-batuk dan tidak bercakap.
- Mangsa berada dalam keadaan sedar.
- Mangsa berumur lebih dari satu tahun.
Cara-cara melakukan teknik ‘Heimlich Maneuver’:
1. Berdiri di belakang mangsa.
2. Genggam tangan dan letakkan bahagian ibu jari genggaman anda sedikit di atas pusat mangsa.
3. Eratkan tangan yang satu lagi ke genggaman tangan anda.
4. Dengan pantas, tekan ke dalam dan ke atas badan mangsa dengan genggaman anda.
5. Ulangi tekanan sehingga objek yang tersekat itu terkeluar.
6. Sekiranya anda melakukan langkah kepada kanak-kanak, berlutut ke arah mangsa dan letakkan kepala anda di sisinya.
7. Sekiranya tidak berjaya atau mangsa pengsan, lakukan CPR kepada mangsa sehingga bantuan pasukan paramedik tiba.
Anda boleh cuba melakukan teknik ‘Heimlich Maneuver’ dengan cara yang betul demi usaha menyelamatkan nyawa seseorang.