Seorang wanita maut selepas kepalanya cedera parah terkena serpihan patung batu yang terjatuh dari sebuah kuil ketika upacara keagamaan sedang berlangsung di Buntong, Ipoh pada pagi Ahad, 15 Mei.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, R Manimegalai, 53 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), selepas cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kejadian itu turut mengakibatkan dua wanita lain mengalami cedera ringan.

Kejadian berlaku di Kuil Arulmigu Visalatchi Sametha Viswanathan Sivalayam Paripalana Sabah di Buntong, ketika kuil itu mengadakan upacara pentahbisan Maha Kumbhabishegam, menurut beliau.
“Siasatan awal mendapati serpihan patung batu terjatuh dari bahagian atas kuil dan mengenai kepala mangsa,” jelas Datuk Mior Faridalathrash.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan telah dibuka untuk siasatan lanjut,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Hassbullah Hasan di talian 013-5555585 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, difahamkan ketika kejadian, kren digunakan semasa upacara pentahbisan yang dihadiri penganut Hindu secara beramai-ramai.
Insiden kejadian itu tular apabila video berdurasi 20 saat dikongsi di media sosial menunjukkan serpihan patung batu berkenaan jatuh.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: