Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kerajaan negeri Sabah bakal membina dan memberi 1,500 unit rumah bernilai RM70,000 setiap satu secara percuma kepada rakyat Sabah yang memerlukan.
Rumah tersebut adalah sebahagian daripada skim ‘Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ)’ yang dibiayai menggunakan Geran Khas untuk Sabah bernilai RM125.6 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan sebagai sebahagian daripada Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT untuk negeri itu.

Ketua Menteri Sabah itu menegaskan rumah terbabit akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Hajiji berkata pegawai yang terlibat seperti pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan datuk bandar majlis bandar raya akan membantu dalam mengenal pasti penerima yang benar-benar layak untuk rumah percuma Rumah Mesra SMJ.

“Peruntukan ini (Geran Khas untuk Sabah) perlu dikembalikan kepada rakyat terutama mereka yang kurang berkemampuan, tidak mempunyai rumah selesa yang sewajarnya jadi kami putuskan untuk membina Rumah Mesra Sabah Maju Jaya,” katanya.
“Kita mahu membantu mereka yang susah, tidak mempunyai rumah atau ada rumah daif supaya dapat merasakan nikmat hidup yang lebih selesa, spesifikasinya mungkin kita ubah sikit daripada rumah PPRT sekarang untuk beri lebih keselesaan kepada rakyat,” tambah Hajiji.

Keputusan kerajaan negeri Sabah dibuat seiring dengan inisiatif kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan kebajikan rakyat untuk memiliki rumah mampu milik.
“Lebihan dana daripada pemberian khas itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta harta benda yang rosak akibat banjir,” kata Ketua Menteri Sabah itu.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: