Skuad badminton lelaki negara menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC 2022) selepas menumpaskan juara bertahan, Indonesia, 3-0 di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada 20 Februari.
Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia, mempamerkan aksi tenang dan bertenaga untuk bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menang 14-21, 21-12, 21-10 ke atas Chico Aura Dwi Wardoyo dalam masa 50 minit.

Aksi lebih mendebarkan disajikan oleh beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang turut tewas set pertama 17-21 sebelum bangkit memenangi dua set terakhir 21-13, 21-18.

Mata kemenangan Malaysia disumbangkan oleh jaguh perseorangan negara meningkat naik, Ng Tze Yong, yang hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay 21-14, 21-15.

Pencapaian terbaik skuad negara sebelum ini adalah mara ke final di Manila, dua tahun lalu namun tewas di tangan Indonesia 1-3.
Indonesia tampil dalam aksi final itu sebagai juara bertahan tiga kali berturut-turut selepas menjuarainya bermula edisi pertama pada 2016 di Hyderabad, 2018 di Kedah dan 2020 di Manila.

Ini merupakan kejuaraan pertama Malaysia sejak edisi pertama diperkenalkan pada 2016, sekali gus menamatkan dominasi Indonesia dalam edisi BATC 2022 kali ini.
Sebagai rekod, kejohanan dwitahunan ini juga merupakan pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, di mana empat pasukan terbaik akan layak ke acara berpasukan itu pada Mei depan.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: