Minggu lalu, beberapa kawasan di Malaysia dan Filipina teruk dilanda bencana. Di Filipina, kira-kira 375 orang dilaporkan terkorban akibat taufan Rai.
Manakala di Malaysia pula, puluhan ribu penduduk terjejas dan kehilangan tempat tinggal akibat banjir di beberapa kawasan.
Di Selangor sahaja, seramai 20 orang ditemui mati selepas banjir surut setakat 21 Disember.
@_yoongiandme/Twitter
Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, fenomena hujan berterusan di Malaysia ini sedikit sebanyak terkesan daripada badai taufan Rai berkenaan.
Bencana yang berlaku semestinya mendapat perhatian daripada pelbagai pihak, termasuklah daripada Ketua Eksekutif Apple Inc, Tim Cook.
Di laman Twitternya, beliau sempat menzahirkan rasa dukacita berikutan bencana yang menimpa kedua-dua buah negara.
“Taufan Rai mengakibatkan banyak kemusnahan di Filipina dan Malaysia. Sebahagian besar keluarga telah kehilangan terlalu banyak perkara”.
“Apple akan menyumbang bagi meringankan beban, membaik pulih dan berusaha untuk membantu pembangunan jangka panjang”, tulisnya.
Pada masa ini, jumlah sumbangan dari Apple dan organisasi mana yang akan mereka bekerjasama masih tidak jelas dan belum dimaklumkan.