Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sumbangan peralatan rantaian sejuk bernilai RM6 juta dari kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) sekali gus meningkatkan kapasiti penyimpanan vaksin COVID-19.
Sumbangan berupa dalam bentuk 184 peti sejuk, 1,343 kotak sejuk dan 1,579 pencatat data akan diedarkan kepada 436 fasiliti kesihatan awam di seluruh negara secara berperingkat, bagi memperkukuhkan pengurusan rantaian sejuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dijalankan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada majlis penyerahan berkata, Malaysia melahirkan penghargaan atas sumbangan ikhlas kerajaan Jepun semasa wabak melanda dan pendirian mereka membantu negara lain yang bergelut melawan COVID-19.
“Acara ini adalah contoh terbaik pakatan strategik yang mempamerkan kemanusiaan cemerlang dalam memerangi COVID-19 secara bersama-sama serta berusaha untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya.
Sambil menambah usaha ini dapat dicapai berikutan hubungan baik dan kukuh yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun.
Malaysia juga telah menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun pada Julai tahun ini untuk mempergiatkan proses vaksinasi di bawah PICK.
Duta Besar Jepun ke Malaysia Oka Hiroshi yang turut hadir pada majlis itu memuji proses vaksinasi kerajaan Malaysia yang disifatkan berjalan dengan giat dan lancar.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap sikap kerajaan Malaysia yang sentiasa melayan warga Jepun di Malaysia secara sama rata dalam program vaksinasi kebangsaannya.
“Ia membuatkan kami berasa selamat dan terjamin di tengah-tengah krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Duta Hiroshi.