Mempercayai kata hati dan naluri sendiri adalah satu perkara baik yang boleh kita amalkan dalam kehidupan sehari-harian.
Mana tahu, ia boleh mengelakkan perkara buruk daripada diingini, samalah seperti apa yang terjadi di Liverpool, England ini.
Seorang pemandu teksi, David Perry dianggap sebagai hero tempatan apabila dia bertindak mengunci pengembom berani mati di dalam teksinya.
Tindakannya itu hanya beberapa saat sebelum bom pada individu terbabit meletup. Mujurlah umur David masih panjang dan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
Dia kini menerima rawatan di hospital berdekatan. Pada hari kejadian, David memberhentikan teksinya di luar wad bersalin di sebuah hospital di sana.
Difahamkan bahawa wad itu terletak kurang sebatu daripada kawasan sasaran yang sepatutnya sempena Hari Peringatan yang diadakan di Anglican Cathedral, Liverpool.
Tindakan David turut membawa kepada penangkapan 3 lagi individu di bandar tersebut oleh pihak polis.
Identiti pengebom masih belum didedahkan dan bandar itu masih dalam keadaan berjaga-jaga selepas kejadian itu.
Terdahulu, pengebom tersebut telah meminta David menghantarnya ke gereja lokasi Hari Peringatan tersebut namun mereka terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.
Penumpang tersebut kemudian meminta David menurunkannya di hospital sahaja. Di hospital itulah David mula perasan keadaan individu agak mencurigakan dengan bahan letupan bersamanya.
Susulan daripada itu, David bertindak pantas dengan menguncinya di dalam kereta lalu segera melarikan diri sejauh mungkin daripada teksinya itu.
“David dalam keadaan yang agak teruk – telinganya dijahit, ada kesan lecurdan kecederaan lain yang agak serius”, kongsi seorang saksi di tempat kejadian.
Rakan David juga melancarkan kutipan dana menerusi GoFundMe dengan menyasarkan kutipan sebanyak £20,000 bagi membiayai kos rawatan, perbelanjaan keluarga serta teksi baharu untuk David.