Penyanyi rap Malaysia Namewee menjadi jutawan dalam tempoh satu malam selepas mengeluarkan lagunya ‘Fragile’ sebagai ‘non-fungible token’ (NFT).
Menurut laporan Taiwan News, lagu terbabit berjaya memperoleh 209 ETH (Ethereum) atau kira-kira NT $27 juta (RM4 juta) dalam tempoh hanya 3 jam selepas dilancarkan.
Namewee/YouTube
Lagu tersebut merupakan karya kerjasama antara Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee bersama penyanyi Australia, Kimberley Chen.
Parti Komunis China walau bagaimanapun telah mengharamkan akaun Weibo Wee dan Chen selepas single itu dikeluarkan serta memadam lagu itu kerana menghina China.
Sungguhpun begitu, lagu itu terus meraih populariti dan dimainkan lebih 10 juta kali dalam seminggu selain menerima tontonan paling banyak dari Taiwan, Hong Kong dan Malaysia.
Namewee 黃明志/Facebook
“Saya sangat terharu kerana menjadi jutawan dalam sekelip mata”, ujar Namewee menerusi akaun Facebooknya.
Anak kelahiran Muar itu mendedahkan bahawa dia juga telah menghasilkan lagu khusus untuk NFT yang dipanggil Go NFT, dan dia memadam semua dokumen muzik asal yang berkaitan untuk memastikan keunikan item maya itu.
Dia juga berjanji bahawa dia tidak akan menukar mata wang maya kepada wang sebenar tidak kiralah berapa banyak yang diperolehnya serta akan mengeluarkan lebih banyak NFT pada 12 November kelak.
Namewee/YouTube
Menurut portal Singapura Today, Fragile diharamkan kerana ia mengandungi ‘memerli’ presiden PKC Xi Jinping dan menyentuh topik sensitif seperti COVID-19, penapisan, budaya membatalkan sesuatu dan Uighur.
Liriknya ada menyebut cinta untuk “anjing, kucing, kelawar dan musang” yang sepertinya merujuk kepada wabak COVID-19.
Manakala satu lagi baris liriknya berbunyi, “Adalah haram untuk tembok api, anda tidak akan terlepas jika Pooh menemuinya”. Pooh yang dimaksudkan merujuk kepada pemimpin PKC oleh pengguna media sosial.