Kita biasa mendengar dan melihat kisah pasangan yang berpisah kerana tidak serasi.
Tetapi pasangan dari Indonesia yang tular di media sosial ini mengambil keputusan dengan persetujuan bersama untuk mengundur diri daripada perhubungan cinta kerana kedua-duanya disahkan menghidap penyakit talasemia minor.
Perkongsian menyayat hati itu dimuat naik di akaun TikTok @szasaccount yang mana wanita tersebut berkongsi yang beliau terpaksa mengakhiri hubungan bersama kekasihnya kerana sekiranya mereka berkahwin, anak mereka akan berisiko untuk menghidap talasemia major.

Beredar tular di media sosial mengenai kisah pasangan ini yang terpaksa berpisah kerana mereka pembawa ‘Thalassemia Minor’.

Mereka berdua kelihatan sedih dan kemudian berasa lega selepas mengundurkan diri.
Penyakit talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah yang mana pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini berikutan gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas, menurut portal MyHEALTH.

“Setelah tiga tahun bercinta. Kami dimaklumkan yang kami berdua mempunyai talasemia minor. Selepas perbincangan panjang, akhirnya kami memutuskan untuk berpisah,” kata @szasaccount.
“Dan ini adalah video hari terakhir kami sebagai pasangan. Di hari perkahwinan kakaknya. Pelukan terakhir sebagai pasangan kekasih,” tulisnya dengan nada sedih dalam TikTok.

Wanita dikenali sebagai Szasza Gustantara kemudian ditemu bual oleh media tempatan yang mana dia berkongsi lanjut mengenai kisah cinta mereka.
“Talasemia adalah sebab kami berpisah. Ramai yang berpendapat bahawa ini hanya mengenai masalah berkaitan zuriat, tetapi sebenarnya keprihatinan kami bukan hanya kepada zuriat tetapi juga memikirkan masalah kewangan dan juga masalah yang bakal timbul sekiranya kami terus memaksa diri untuk kekal bersama,” jelasnya.

Keputusan menyedihkan itu terpaksa diambil selepas mereka melihat akan terdapat hikmah dan kebaikan masa hadapan yang lebih besar daripada kekal meneruskan perhubungan sebagai pasangan yang tidak sihat.