KOTA BHARU- Walaupun rumahnya habis dijilat api dalam kebakaran, seorang wanita warga emas masih bernasib baik apabila barang kemas miliknya ditemui dalam keadaan selamat.
Barang kemas yang bernilai sekitar RM20,000 itu ditemukan oleh pihak bomba selepas selesai memadam kebakaran yang berlaku di Kampung Tembesu, Limbat, Kota Bharu pada Ahad lalu.
Ketika menjalankan operasi pemadaman, anggota bomba menemui barang kemas seperti gelang, rantai, dan cincin di dalam timbunan sisa kebakaran.
Menurut laporan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba El Taraff Mohd Zachariah berkata, terdahulu seramai 11 anggota dari BBP Pasir Tumboh dan Tunjong bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kebakaran pada jam 5.21 petang.
Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian belakang rumah dan terdapat empat penghuni ketika kejadian berlaku. Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan berlaku.
Tambahnya lagi, selepas operasi pemadaman, pihaknya melakukan penyerahan barangan kepunyaan keluarga mangsa yang ditemui sepanjang operasi dijalankan.
Tonton video di sini.