Jika sebelum ini tular mengenai penemuan ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, kali ini ikan yu paus pula ditemui.
Seekor ikan yu paus dengan berat angaran 5 tan metrik telah ditemui di perairan Kuala Perlis pada jarak 6 batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru.
Ikan berkenaan ditemukan oleh salah seorang pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Khairul Anuar Abas ketika sedang membuat rondaan pada sekitar jam 2 petang di perairan tersebut.
Peace M’sia III /Facebook
Manakala pengasas bersama PNW, Syamil Abd. Rahman menjelaskan bahawa ikan yu paus itu adalah spesies yang jarang ditemui.
Tambahnya, ikan jenis itu tidak membawa sebarang bahaya kepada manusia dan sebaliknya hanya mengikut bot di perairan berkenaan.
“Tak sangka pula sahabat saya boleh menemukan ikan tersebut yang jarang-jarang dijumpai di sini. Ikan yu paus itu lebih besar daripada bot gentian kaca nelayan”.
Peace M’sia III /Facebook
Ujarnya lagi, ikan itu juga ditemui khususnya semasa cuaca cerah dan kebiasaannya berada di sekitar 3 hingga 6 batu nautika dari pantai.
Ikan yu paus atau nama saintifiknya, ‘Rhincodon typus’ merupakan sejenis ikan yang bergerak perlahan dan mengamalkan diet pemakanan bertapis.
Ianya juga merupakan spesies ikan besar dan bersaiz gergasi serta beratnya boleh mencapai 15 tan metrik.
Purata umur hidup ikan tersebut juga mencecah sehingga 70 tahun.