Pandemik beralih endemik COVID-19 telah menyukarkan kehidupan semua orang, terutama buat mereka yang berada dalam industri makanan dan minuman, ketika pemilik dan pengusaha perniagaan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan perniagaan.
Agak menyedihkan buat Medan Selera RASA di Suria KLCC yang terpaksa mengumumkan penutupan rasmi selepas 22 tahun beroperasi.

Berita itu tular di media sosial apabila beberapa warganet memuat naik gambar mengenai penutupan medan selera ini secara kekal sejak 31 Ogos 2021.
Ada yang mengunjungi Medan Selera RASA di Suria KLCC dan mereka melihat sendiri notis di pintu masuk yang diumumkan oleh pihak pengurusan didahulukan dengan ucapan ‘Terima Kasih!’.

Pihak pengurusan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pelanggan yang pernah menjamu selera di Medan Selera RASA selama 22 tahun yang mengagumkan.
Pihak pengurusan RASA turut memuat naik pengumuman rasmi penutupan bermula 1 September 2021 di akaun Instagram mereka.

Nampaknya rata-rata warganet berasa sedih dengan berita ini. Maklumlah ada yang selalu berkunjung menjamu selera hidangan enak di sana selama bertahun-tahun sebelum pandemik tercetus dan menyukarkan kehidupan semua.

Ramai warganet yang memberi komen dalam nostalgia ketika pernah menikmati juadah di gerai makanan kegemaran mereka yang sering dikunjungi, kini Medan Selera RASA telah ditutup secara rasmi dan kekal.
Amat menyedihkan apabila mendapat berita yang mereka terpaksa pergi dan mengucapkan ‘Selamat Tinggal!’

Terima kasih diucapkan atas semua kenangan selama 22 tahun dan kerana anda semua sentiasa menjamu makanan terbaik dan menggembirakan buat jutaan pengunjung di KLCC.