TOKYO- Atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin berjaya menghadiahkan pingat emas sulung negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara ‘powerlifting’ dalam kelas 72 kilogram (kg) di Tokyo International Forum.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 22 tahun itu merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228 kg sekali gus memadam rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet dari Iraq, Rasool Mohsin yang pernah mengangkat bebanan seberat 227kg ketika di Rio de Janeiro.
Tempat kedua dimiliki atlet dari Mesir, Mahmoud Attia dengan angkatan 191 kg manakala gangsa dimenangi Micky Yule, Great Britain, 182 kg.
Bonnie yang turun selaku pemegang rekod dunia di Tokyo International Forum, mendahului saingan sejak daripada angkatan pertama dengan dia bermula dengan angkatan 217, 225, 228 sebelum percubaan keempat untuk memecahkan rekod dunia miliknya pada angkatan 231kg gagal.
Bonnie adalah antara dalam kalangan lima atlet para negara yang diletakkan sebagai sandaran meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bersama dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badminton para, Cheah Leik Hou dan atlet memanah, S Suresh.