DHAKA- Orang ramai tidak putus-putus mengunjungi sebuah ladang yang terletak di Charigram bagi melihat seekor lembu kerdil yang diberi nama Rani.
Lembu kerdil tersebut kini berusia 23 bulan dan mempunyai ketinggian 51 sentimeter dengan berat sekitar 28 kilogram.
Walaupun Bangladesh ketika ini melaksanakan perintah berkurung susulan wabak COVID-19, orang ramai masih tetap datang ke ladang tersebut untuk melihat keistimewaan Rani.
Pemilik ladang, Hasan Howladar berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Rekod Dunia Guinness untuk mengiktiraf Rani sebagai lembu terkecil di dunia.
Hasan memberitahu, dia membeli Rani pada tahun lalu di sebuah ladang di daerah Naogaon di utara negara itu.
Rekod lembu terkecil di dunia ketika ini masih menjadi milik seekor lembu yang diberi nama Manikyam di India dengan ketinggian 61.1 sentimeter.
Sumber: Facebook