Atlet Bonnie Bunyau Gustin telah mengharumkan nama negara dengan prestasi cemerlangnya di Piala Dunia ‘Powerlifting’ Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 22 Jun lalu.
Bonnie bukan sahaja merangkul pingat emas tetapi juga memecahkan rekod dunia dalam acara melebihi 72 kilogram lelaki dengan berjaya mengangkat 230 kilogram pada percubaan keduanya.
@MSNMALAYSIA/Twitter
Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh atlet dari Iran, Roohallah Rostami yang mengangkat berat 229 kilogram ketika Sukan Para Asian 2018 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Ini merupakan kejayaan kedua berturut-turut buat atlet kelahiran Sarawak itu, setelah memenangi pingat emas dalam acara sama di World Para Powerlifting World Cup di Bangkok, Thailand bulan lalu.
@TeamMsia/Twitter
Dengan kejayaannya merangkul pingat emas, Bonnie yang berusia 22 tahun itu bersedia untuk mewakili negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan datang.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menzahirkan ucapan tahniah menerusi hantaran di laman Twitternya.
@reezal_merican/Twitter
Semoga Bonnie terus berjaya dan dapat mengekalkan momentumnya pada kejohanan yang akan datang!