Gelagat pemain tengah Perancis, Paul Pogba mengalihkan minuman tajaan di hadapannya sebelum memulakan sesi sidang akhbar baru-baru ini mencuri tumpuan ramai.
Pogba yang beragama Islam, dilihat mengalihkan botol minuman keras berlabel Heineken yang diletakkan di atas meja, tatkala selesai perlawanan Euro 2020 antara Perancis dan Jerman.
Perlawanan tersebut berakhir dengan Perancis berjaya menumpaskan Jerman 1-0, sementara Pogba dinobatkan sebagai ‘Man of the Match’.
Sehari sebelum itu, terdahulu tular gelagat pemain Portugal, Cristiano Ronaldo yang turut mengalihkan dua botol Coca-Cola semasa sidang akhbar.
@MarketingMvrick/Twitter
Cristiano kemudian dilihat mengangkat botol berisi air mineral dan kemudian berkata ‘Agua’ yang bermaksud air di dalam bahasa ibundanya.
Namun bezanya, Cristiano hanya mengalihkan botol Coca-Cola ke tepi meja sedangkan Pogba pula terus mengalihkan botol Heineken ke bawah.
Untuk makluman, Heineken merupakan penaja rasmi bir untuk Euro 2020.
Dalam pada itu, UEFA tidak melihat tindakan kedua-dua pemain itu sebagai satu isu, walaupun ia melibatkan dua penaja berprofil tinggi mereka.