Keadaan jalan raya yang buruk sememangnya memberikan pengalaman pemanduan yang ‘mengerikan’ malah ia juga boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.
Baru-baru ini, tular foto sebuah Perodua Myvi dipenuhi kawat duri yang tersangkut pada kereta terbabit di media sosial.
Difahamkan bahawa kereta Myvi itu sebenarnya dipandu oleh seorang jururawat dan dipercayai berlaku sekitar awal pagi di Labuan.
@zulkheir/Twitter
Lebih kurang pada jam 5:30 pagi, jururawat terbabit mahu menuju ke tempat kerja untuk bertugas dan keadaan pada masa itu masih lagi gelap.
Laluan jalan berkenaan juga difahamkan tidak mempunyai sebarang tanda amaran awal misalnya papan tanda, kon mahupun lampu ‘hazard’.
Situasi itu menyebabkan para pengguna jalan berkenaan tidak tahu bahawa laluan itu telah pun ditutup.
@__romeo______/Twitter
Menurut penduduk tempatan, jalan itu dikatakan sedikit menurun, ditambah pula dengan ketiadaan lampu jalan menyebabkan dawai itu dirempuh.
Sehubungan dengan kejadian itu, orang ramai menyeru pihak bertanggungjawab untuk meletakkan tanda amaran awal agar ia tidak membahayakan pengguna.
Ia juga bertujuan supaya pengguna jalan raya dapat berwaspada dan tahu bahawa jalan yang mereka lalui itu telah pun ditutup ekoran pelaksanaan kawalan pergerakan.
Diharapkan agar jururawat tersebut berada dalam keadaan yang baik dan dapat meneruskan tugasnya di hospital seperti sedia kala.