Satu kebakaran kimia dilaporkan berlaku pada pagi 14 Jun lalu di kilang Chemtool yang terletak di Rockton, Illinois, Amerika Syarikat.
Sehubungan dengan itu, para penduduk berhampiran turut diminta untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Menurut laporan, pihak bomba telah mengarahkan pemindahan wajib semua penduduk dan perniagaan yang jaraknya terletak lebih kurang satu batu daripada kilang itu.
Jelas Ketua Bomba Illinois, Kirk Wilson, kebakaran tersebut tidak menimbulkan sebarang ancaman pada masyarakat.
Dan untuk mengelakkan pencemaran terhadap alam sekitar, pihak bomba memutuskan untuk membiarkan api terpadam dengan sendirinya.
Wilson berkata, 70 orang pekerja kilang itu berjaya dibawa keluar dengan selamat. Ketika pasukan bomba tiba, api telah marak hingga ke bumbung dan asap juga telah memenuhi langit.
Sementara itu, seorang anggota bomba dilaporkan mengalami kecederaan. Perincian lain walau bagaimanapun tidak diumumkan dengan jelas.
Difahamkan bahawa sekurang-kurangnya 40 buah agensi dan 150 orang anggota bomba mengambil bahagian dalam operasi memadam kebakaran.
Penduduk berhampiran terdengar beberapa letupan
Rockton terletak 15 batu (24.1 kilometer) di Utara Rockford, berhampiran dengan sempadan Wisconsin. Penduduk tempatan melaporkan bahawa mereka mendengar beberapa letupan pada hari berkenaan.
“Saya dan keluarga tinggal di zon pemindahan. Kami terdengar letupan pagi ini. Walaupun selepas lima minit, anjing kami tidak dapat ditenangkan, jadi kami memutuskan untuk melihat ke luar. Pada masa itu, asap tebal memenuhi langit”, kata Thomas Rollette.
Tambahnya, letupan pertama kedengaran seperti ada seseorang yang menyalakan bunga api yang cukup besar.
“Saya tidak menyangka ada sesuatu yang berlaku sehingga terdengar letupan semakin kuat. Melihat asap tebal meletus di luar, saya lebih yakin akan hal ini. Tidak lama kemudian, mereka memberitahu penduduk berhampiran untuk berpindah”.
Syarikat mengucapkan terima kasih kepada para penyelamat
Kilang terbabit ada menulis di laman web mereka bahawa kilang mereka menyediakan pelbagai minyak bagi memenuhi keperluan pengguna.
Kata Lubrizol selaku pemilik kilang berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa kesemua pekerja dalam keadaan selamat dan tidak cedera.
“Pada sekitar pukul 7 pagi ini, penyelamat tempatan sedang mengawal kebakaran di kilang Chemtool di Rockton. Kami telah mengesahkan bahawa semua anggota di tempat kejadian selamat dan sihat”.
Apa yang menjadi keutamaan kami sekarang adalah keadaan semua pekerja kami dan kawasan sekitarnya. Keselamatan komuniti”, kata kilang itu menerusi satu kenyataan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa telah memindahkan penduduk dalam jarak satu batu (1.6 kilometer) dari lokasi kejadian. Kami belum mengetahui punca insiden itu, tetapi kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pasukan pengurusan risiko kami sendiri untuk menentukan apa yang berlaku dan mengambil tindakan pembetulan”.
“Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya. Kami mengucapkan terima kasih kepada pekerja, responden kecemasan dan anggota keselamatan atas tindak balas mereka terhadap kejadian ini”.
Menurut WIFR, Salvation Army di daerah Winnebago mengatakan bahawa kakitangan dan sukarelawan Salvation Army telah menubuhkan unit bergerak untuk menyediakan makanan untuk pasukan penyelamat.